Tiada kekebalan bagi bekas anggota SPR, kata Bersih

Beberapa bekas anggota Suruhanjaya Pilihan Raya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kumpulan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 berkata bekas pesuruhjaya yang mengendalikan pilihan raya umum ke-14 mesti menjawab tuduhan-tuduhan serius terhadap mereka.

Menegaskan bekas pesuruhjaya terbabit tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya, mereka juga tidak boleh terlepas daripada penelitian menerusi peletakan jawatan.

“Ia akan memberi mesej yang salah kepada penjawat awam lain,” katanya.

Peguam Negara Tommy Thomas pada Khamis berkata hasil tribunal yang ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan salahlaku 6 bekas pesuruhjaya bukan akademik.

Beliau menjelaskan Perlembagaan Persekutuan membolehkan tindakan wajar diambil terhadap mereka dan syor diberi kepada Agong.

Peguam salah seorang daripada 6 bekas pesuruhjaya itu berkata kenyataan tersebut tidak menghormati tribunal dan menjatuhkan imej 6 individu terbabit.

“Kenyataan peguam negara, yang berlawanan sama sekali dengan pendirian pegawai pelaksana beliau semasa prosiding Isnin lepas, tidak menghormati tribunal,” kata R Kengadharan.

Enam individu terbabit, iaitu Othman Mahmood, Md Yusop Mansor, Abdul Aziz Khalidin, Sulaiman Narawi, Bala Singam Karupiah dan Leo Chong Cheong, meletak jawatan selepas kerajaan mengumumkan penubuhan tribunal yang akan menyiasat dakwaan salahlaku terhadap mereka.

Bersih hari ini berkata ada keperluan untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap kebebasan dan kesaksamaan SPR.

“Tribunal cara terbaik untuk melakukannya,” katanya.