Hadi terima penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah terhadap Claire Rewcastle-Brown

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown pada 21 April 2017 kerana mendakwa dana RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pimpinan atasan PAS.

PETALING JAYA: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat ketetapan untuk memuktamadkan penyelesaian di luar mahkamah dalam kes saman beliau terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Setiausaha politik presiden PAS, Syahir Sulaiman dalam kenyataan hari ini berkata, ketetapan itu dibuat melalui Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi London, bertarikh 1 Februari 2019 .

Menurutnya, Hadi membuat keputusan menarik balik tuntutan terhadap Rewcastle-Brown dan editor itu juga bersetuju menarik balik tuntutan balas beliau terhadap ahli Parlimen Marang itu.

Syahir berkata, Hadi membuat keputusan itu selepas meneliti keseluruhan tindakan mahkamah yang difailkan dan setelah menimbangkan pandangan serta nasihat peguam.

“Tiada perintah berkenaan kos dan kedua-dua pihak tertakluk kepada persetujuan kerahsiaan mengenai terma berkaitan penyelesaian ini,” katanya.

Untuk rekod, Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 lepas.

Ia susulan laporan portal berita itu pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa dana berjumlah RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS sebagai usaha bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak “menarik” sokongan parti itu kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).