Hanipa: Tarik balik saman tidak bermakna Hadi menang

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.

PETALING JAYA: Keputusan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerima penyelesaian di luar mahkamah dalam kes saman fitnahnya terhadap editor Sarawak Report, Claire Rewcastle-Brown, tidak bermakna beliau menang, kata seorang timbalan menteri hari ini.

Dalam satu kenyataan, Mohamed Hanipa Maidin berkata, apabila saman fitnah tidak diteruskan, maka tidak dapat diputuskan sama ada laporan yang dibuat oleh laman web pemberi maklumat itu palsu atau sebaliknya.

“Berdasarkan terma penyelesaian yang saya baca, tiada pun sebaris ayat (yang menyebut) Sarawak Report (perlu) menarik balik atau minta maaf, yang boleh ditafsir sebagai satu ‘concession’ atau pengakuan (bahawa) apa yang disiarkan oleh Sarawak Report adalah fitnah,” kata Hanipa, yang merupakan timbalan menteri undang-undang.

Terdahulu hari ini, Hadi bersetuju menerima penyelesaian di luar mahkamah dengan Rewcastle-Brown tanpa menjelaskan terma yang dipersetujui.

Presiden PAS dilaporkan bersetuju untuk menarik balik tuntutan beliau terhadap editor yang berpangkalan di London itu sebagai defendan, sementara Rewcastle-Brown juga bersetuju menarik tuntutannya terhadap Hadi.

Tiada perintah berkaitan kos dibuat.

Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London susulan satu artikel yang ditulis oleh Rewcastle-Brown dan diterbitkan portal berita Sarawak Report pada 6 Ogos 2017.

Artikel 8 paragraf itu mendakwa dana berjumlah RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dalam tuntutan balasnya yang difailkan pada 11 Oktober tahun yang sama, Rewcastle-Brown mendakwa Hadi bersekongkol dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak atau ejennya untuk memburukkan beliau dan portal berita itu.

Hanipa, yang merupakan bekas pengerusi biro undang-undang PAS, juga mendakwa beliau tahu bahawa Hadi tidak akan meneruskan saman itu, tetapi enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenainya.

Beliau berkata, keputusan menarik balik saman tanpa perintah kos itu juga bermakna Hadi tidak boleh menuntut semula fi guaman beliau.