Kumpulan mahu undang-undang anti-diskriminasi, bukan garis panduan etika berpakaian

Kementerian Sumber Manusia sedang merangka garis panduan etika berpakaian untuk sektor swasta bagi menangani diskriminasi terhadap perempuan Islam yang bertudung. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Apa yang negara perlukan sekarang ini adalah undang-undang anti-diskriminasi dan bukannya garis panduan etika berpakaian, kata Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG).

Ia khuatir garis panduan etika itu akan mengundang kesan tidak diingini seperti pemulauan lelaki dan perempuan beragama Islam yang memilih untuk tidak mematuhi garis panduan itu itu.

“Sebaliknya, ia boleh menyebabkan mereka kena tekanan sosial, gangguan dan diskriminasi.

“Ini kerana garis panduan etika, walaupun ‘tidak diwajibkan’ atau tidak mengikat dari segi undang-undang, menetapkan norma dan jangkaan apa yang harus seseorang patut pakai dan tidak patut dipakai,” katanya dalam kenyataan hari ini, menjawab kenyataan Kementerian Sumber Manusia.

Pada Selasa, kementerian berkata garis panduan panduan etika berpakaian akan dibentangkan tidak lama lagi. Menurut menteri, gadis panduan etika itu untuk menangani diskriminasi terhadap perempuan beragama Islam yang memakai tudung.

JAG berkata daripada mengawasi pemakaian seseorang melalui garis panduan yang mengehadkan hak dan meletakkan beban pematuhan kepada individu, kerajaan patut memperkenalkan undang-undang yang melarang majikan mendiskriminasi pekerja atas dasar pakaian dan gender.

Gabungan itu mempertahankan hak berpakaian setiap orang.

Kenyataan itu disokong oleh All Women’s Action Society (Awam), Persatuan Peguam Wanita, Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sarawak Women for Women Society dan Justice for Sisters.