Menteri dibidas kerana anggap Bugis, Jawa pribumi Sabah

Jeffrey Kitingan berkata isu ini mengundang perbalahan dan boleh mengapi-apikan. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Kementerian Undang-undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah dikritik selepas Menteri Aidi Moktar mengisytiharkan kerajaan Sabah bawah pentadbiran Warisan akan mengiktiraf orang Bugis dan Jawa sebagai pribumi Sabah.

Aidi membuat pengumuman itu di Tawau semalam.

Beliau berkata tidak adil sekiranya masyarakat Bugis dan Jawa di Sabah tidak dianggap pribumi sedangkan mereka sudah menetap sekian lama di negeri itu, sebelum penubuhan Malaysia.

Bagaimanapun, kenyataan Aidi tidak diterima baik oleh pemimpin pribumi Sabah yang lain.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Jeffrey Kitingan berkata menurut Perlembagaan Persekutuan, seorang pribumi adalah seorang warganegara, anak atau cucu seseorang daripada kaum asal Sabah, dan dilahirkan di Sabah atau ketika lahir mempunyai bapa yang menetap di Sabah.

“Ungkapan paling penting dalam takrif itu ialah seseorang daripada kaum asal Sabah.

“Oleh kerana Bugis dan Jawa tidak berasal dari Sabah, mereka tak boleh dianggap pribumi,” katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun itu berkata mengikut logik Aidi, orang Bugis dan Jawa, walaupun bukan berasal dari Sabah, patut dianggap pribumi kerana mereka sudah menetap di situ sebelum penubuhan Malaysia.

Oleh itu, orang Cina juga perlu diberi status pribumi kerana mereka juga sudah lama menetap di Sabah.

Jeffrey menyifatkan langkah “tiba-tiba” untuk menjadikan orang Bugis dan Jawa sebagai pribumi itu tidak wajar dan tidak berasas.

“Dengan menimbulkan isu yang mengundang perbalahan dan mungkin mengapi-apikan ini, rakyat akan lagi yakin adanya satu konspirasi untuk menjadikan mengatasi pribumi Sabah dan menjadikan mereka kumpulan minoriti,” katanya.

Sino-KDM tersinggung

Cadangan itu juga menyebabkan Persatuan Sino-Kadazan Dusun Murut Sabah tersinggung, terutama kerana Sino-KDM sekian lama menunggu mereka diiktiraf sebagai pribumi Sabah.

Ketua Penerangan Jerry Goh kecewa seorang menteri tidak sensitif apabila mengeluarkan kenyataan itu.

“Orang Bugis dan Jawa tidak pernah jadi pribumi Borneo. Bagaimana boleh mereka dianggap begitu dan menikmati semua keistimewaan pribumi Sabah?

“Seorang menteri harus berfikir sebelum buka mulut.”

Sementara itu, Warisan menegaskan kenyataan tersebut tiada kaitan dengan pendirian parti. Setiausaha Agung Loretto Padua berkata Aidi cuma menyuarakan pandangan peribadi.

“Menteri berkenaan menyatakan pandangannya tanpa memaklumkan pucuk pimpinan parti terlebih dahulu.

“Beliau bebas untuk menyatakan pandangan peribadi beliau, namun apa yang umum kena tahu, perkara ini tidak pernah dibincangkan di peringkat parti.”

Kaum mana dianggap pribumi menjadi pertikaian kerana kebanyakan kumpulan etnik terbesar, termasuk Kadazan-Dusun dan Murut, tidak disenaraikan dalam Ordinan Tafsiran (Definisi Anak Negeri) (Sabah).

Ordinan itu hanya menyenaraikan 5 kumpulan etnik sebagai pribumi, iaitu Suluk, Kagayan, Simonol, Sibutu dan Ubian, semuanya boleh ditemui di pantai timur negeri itu.

Banyak kelebihan diberikan kepada pribumi, seperti pemilikan tanah dan hak mengisytiharkan kawasan tertentu bawah undang-undang tanah adat.

Seorang bukan pribumi hanya boleh memajakkan tanah manakala seorang pribumi boleh memohon geran tanah adat, kebiasaannya untuk pertanian.

Ketika ini, Kadazan-Dusun, Murut, Bajau, Bisaya, Rungus, Lotud dan banyak lagi kumpulan lain dimasukkan dalam 2 fasal bawah Ordinan Tafsiran tetapi nama setiap satu kumpulan itu tidak disebut.

Usaha menyenaraikan pelbagai kumpulan etnik terhenti kerana kontroversi apabila kumpulan etnik lain, yang tidak berasal dari Sabah, juga menuntut mereka dimasukkan dalam senarai pribumi.