Najib dakwa peniaga mengeluh, pertimbang tutup perniagaan

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak mendakwa ramai peniaga makanan dan harian yang dijumpainya mengeluh perniagaan terjejas akibat ekonomi lembap.

Bekas perdana menteri berkata ada juga penjual biskut dan buah-buahan mengadu jualan merosot sehingga 50% dan sedang pertimbang tutup perniagaan.

“Saya berkesempatan berjumpa dengan berbagai kelompok dalam masyarakat kita daripada pelbagai latar belakang dan profesion seperti di pasar, kedai kopi, di lebuh raya, kedai runcit dengar pandangan dan keluhan mereka,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook petang tadi.

Najib berkata anak muda yang ditemuinya juga bimbang sama ada pekerjaan mereka terjamin, dan mahasiswa yang bakal menamatkan pengajian juga berdepan masalah ketiadaan peluang pekerjaan.

“Ketua-ketua keluarga beritahu saya mereka benar-benar percaya kata-kata Pakatan Harapan (PH) yang harga barang akan turun dan kerajaan akan beri pelbagai jenis bantuan dan kebajikan.

“Malangnya yang berlaku sebaliknya, di mana kos sara hidup meningkat bermula dengan pengenalan SST sehingga dasar baru seperti peningkatan tarif elektrik dan air,” katanya.

Najib juga mendakwa ada pengurangan bantuan kepada golongan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) dan sederhana (M40)

Katanya, agak pelik apabila rakyat diminta tolong kerajaan sedangkan rakyat tidak berani berbelanja.

“Saya agak sedih melihat apa dibina Barisan Nasional (BN) selama ini hancur berkecai. Ekonomi terjejas teruk, dan sambutan Tahun Baru Cina juga terkesan,” katanya.