PBS seru referendum terhadap rancangan jadikan Bugis, Jawa pribumi

(Bernama pic)

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah hari ini menggesa kerajaan negeri mengadakan referendum mengenai rancangan mengiktiraf orang berketurunan Bugis dan Jawa sebagai pribumi, dan menuduh kerajaan Warisan cuba mengubah lanskap politik Sabah.

Presiden Datuk Seri Maximus Ongkili memberi amaran kepada kerajaan negeri jangan menggunakan undang-undang untuk mendapat kelebihan politik.

“Kami menuntut kerajaan Warisan mengadakan referendum untuk mendapatkan pandangan semua rakyat Sabah. Ia mesti tidak boleh mengubah atau melanggar hak dan undang-undang melindungi pribumi Sabah dan rakyat negeri ini,” katanya.

Terdahulu, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Aidi Moktar berkata negeri sedang pertimbang untuk memasukkan 2 komuniti itu dalam takrif pribumi Sabah.

Tetapi Ongkili berkata langkah itu tidak sensitif dan tidak akan diterima rakyat Sabah.

“Kami mengesyaki ada rancangan untuk mengubah lanskap politik Sabah dan mencetuskan ketakseimbangan kaum untuk tujuan politik,” katanya.

“Sekiranya kerajaan Warisan bertegas meneruskan pindaan undang-undang itu, mesti ada rundingan meluas dengan semua pihak di peringkat akar umbi,” tambahnya.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu menghormati masyarakat Bugis dan Jawa tetapi bertegas mereka bukan pribumi Sabah.

Beliau berkata dokumen sejarah daripada kerajaan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British lagi membuktikan masyarakat Bugis dan Jawa bukan pribumi utara pulau Borneo.

“Mereka pendatang dari kawasan Borneo lain dan kepulauan Indonesia,” katanya.

Bekas ketua Umno Sabah Datuk Seri Hajiji Noor bersetuju dengan pandangan Ongkili.

Beliau menambah taraf “anak negeri” status istimewa yang dikhususkan untuk penduduk asal Bumiputera Sabah, mengatakan ia satu-satunya hak istimewa yang diberikan kepada pribumi negeri itu.

“Memberi pengiktirafan kepada bangsa lain sebagai anak negeri merupakan perkara yang serius dan sensitif.

“Jika ini dilaksanakan, sudah pasti ia menghakis hak-hak anak negeri Sabah. Kerajaan Warisan diingatkan agar tidak terburu-buru berbuat demikian”, katanya.

Adun Sulaman menegaskan walaupun semua anak negeri adalah Bumiputera, tidak semua Bumiputera itu Anak Negeri.

Beliau berkata ada kemungkinan Aidi kelirukan Bumiputera dengan Anak Negeri.

“Anak negeri atau pribumi adalah mereka yang berasal dari Borneo Utara. Dalam konteks nasional mereka juga Bumiputera bawah Perlembagaan kita.

“Tetapi Bumiputera Malaysia tidak semestinya layak sebagai penduduk asal pribumi Sabah. Orang Melayu dari Semananjung dan Sarawak juga tidak diiktiraf sebagai orang asli Sabah kecuali seorang daripada ibu bapa mereka berasal dari Sabah.”

Hajiji berkata orang Bugis adalah pribumi Sulawesi manakala orang Jawa adalah pribumi Tanah Jawa. Mereka bukan orang asli Sabah, mereka tidak layak menjadi orang asli dalam takrif ordinan Anak Negeri.

Beliau berkata walaupun mereka boleh menuntut sebagai Anak Negeri bawah Seksyen 2(1)(d) Ordinan Tafsiran (Definisi Anak Negeri) (Sabah), tetapi Seksyen 2(3) mengharuskan mereka memohon pengiktirafan Anak Negeri di Mahkamah Anak Negeri dengan memenuhi syarat yang ditetapkan.