Sabah mahu Putrajaya tangguh lancar deraf Dasar Pembangunan Luar Bandar baru

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Ewon Benedick.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menggesa Putrajaya supaya menangguhkan pelancaran deraf Dasar Pembangunan Luar Bandar yang baru digubal sehingga negeri tersebut diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam proses penggubalannya.

Bercakap kepada media semalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, proses pembuatan dasar mestilah melibatkan penyertaan negeri Sabah dan Sarawak.

“Saya fikir mana-mana dasar kebangsaan yang hendak dilaksanakan mestilah mengambil kira kepentingan Sabah dan Sarawak.

“Kami tidak mahu mereka (Putrajaya) melaksanakan dasar baru tanpa berunding dengan kami.”

Menteri negeri itu menyuarakan kebimbangan beliau dalam satu mesyuarat dengan wakil dari Sabah dan Sarawak.

“Kami tentulah tidak boleh bersetuju begitu sahaja berhubung satu dasar yang begitu penting, sedangkan kami tidak terlibat dalam proses (penggubalannya).

“Kami mahu ia ditangguhkan bagi membolehkan kami memberikan pandangan dan input.”

Beliau juga menggesa sistem yang diamalkan sekarang, yang menyaksikan pegawai daerah dan agensi melaporkan dapatan mereka mengenai peruntukan belanjawan secara terus kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), diperbaiki.

Katanya, sebagai contoh, terdapat banyak projek naik taraf jalan yang kurang lalu lintas berbanding jalan utama yang lebih penting di tempat lain.

EPU dan kementerian lain yang terlibat menyediakan dana hendaklah juga menimbangkan input daripada pegawai daerah atau sekurang-kurangnya Kementerian Pembangunan Luar Bandar negeri, katanya.