Saya tak berganjak, kata editor Sarawak Report selepas Hadi tarik balik tuntutan

Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

PETALING JAYA: Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown gembira Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersetuju untuk menyelesaikan saman fitnah terhadapnya di luar mahkamah.

Beliau juga menegaskan artikelnya, yang menyebabkan saman itu, masih dalam talian dan tidak diubah.

“Saya tidak berganjak,” tambahnya.

Beliau berkata artikel itu masih dalam talian walaupun ada cubaan mencemar nama baiknya sebelum pilihan raya umum lepas.

“Saya sangat berpuas hati dengan perkembangan ini walaupun bagus juga kalau dapat melihat mereka semua di mahkamah.

“Saya mahu berterima kasih kepada orang-orang yang menyokong saya berdepan cubaan PAS membuli saya,” katanya kepada FMT.

Rewcastle-Brown berkata semua pihak berkenaan bersetuju untuk tidak mendedahkan terma-terma penyelesaian itu.

Terdahulu hari ini, Hadi bersetuju menerima penyelesaian di luar mahkamah dengan Rewcastle-Brown tanpa menjelaskan terma yang dipersetujui.

Presiden PAS dilaporkan bersetuju untuk menarik balik tuntutan beliau terhadap editor yang berpangkalan di London itu sebagai defendan, sementara Rewcastle-Brown juga bersetuju menarik tuntutannya terhadap Hadi.

Tiada perintah berkaitan kos dibuat.

Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London susulan satu artikel yang ditulis oleh Rewcastle-Brown dan diterbitkan portal berita Sarawak Report pada 6 Ogos 2017.

Artikel itu mendakwa dana berjumlah RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dalam tuntutan balasnya yang difailkan pada 11 Oktober tahun yang sama, Rewcastle-Brown mendakwa Hadi bersekongkol dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak atau ejennya untuk memburukkan beliau dan portal berita itu.