Yadim: Patriot tempelak Pemuda Umno berhubung pelantikan wakil DAP

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji.

PETALING JAYA: Pertubuhan bekas tentera, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menolak kritikan berhubung pelantikan seorang wakil rakyat DAP sebagai ahli lembaga pengarah pertubuhan dakwah kerajaan, dengan menyifatkannya sebagai “jahil dan bersifat perkauman”.

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji menempelak pandangan Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, walaupun beliau merupakan ilmuan pengajian Islam dan bekas ahli Yadim.

Arshad berkata, Asyraf fikir Sheikh Omar Sheikh Ali tidak layak dilantik ke jawatan itu kerana “pandangan politik beliau yang sempit”.

Beliau berkata, Sheikh Omar memiliki ijazah sarjana muda daripada Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Islam dengan pengkhususan Dakwah.

“Kelayakan akademik apa lagi yang Asyraf mahu daripada Sheikh Omar untuk layak menjadi ahli lembaga pengarah Yadim?

“Apakah Asyraf fikir bahawa Sheikh Omar, yang hanya merupakan ahli biasa DAP, kurang Melayunya atau kurang Islam?,” katanya dalam satu kenyataan.

Asyraf sebelum ini mengkritik pelantikan Sheikh Omar, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, dengan mendakwa Omar merupakan ahli sebuah parti yang tidak mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi negara.

Beliau juga berkata, instutusi Islam di negara ini kini diancam oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi oleh DAP.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, yang bertanggungjawab ke atas hal-ehwal Islam, mempertahankan lantikan Sheikh Omar dengan merujuk kepada kelulusanya dalam bidang Pengajian Islam.

Mujahid berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga bersetuju dengan pelantikan itu.

Yadim, atau Yayasan Dakwah Islam Malaysia, ditubuhkan pada 1974 bagi menyelaraskan kegiatan dakwah Islam, kini diketuai oleh Nik Omar Nik Aziz, anak bekas menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat.