Pakar sosiologi kesal bahasa Melayu dipinggir sebagai bahasa akademik

Pakar sosiologi, Syed Farid al-Attas.

KUALA LUMPUR: Pakar sosiologi, Syed Farid al-Attas mempersoalkan keperluan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi mana-mana subjek di sekolah di Malaysia dengan berkata, adalah memadai bahasa itu diajar sebagai satu subjek asalkan ia diperkenalkan pada peringkat awal pendidikan formal dan standardnya dipertahankan.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata adalah membingungkan apabila bahasa Inggeris digunakan untuk mengajar subjek matematik dan sains, sedangkan bahasa itu sendiri tidak diajar dengan baik.

Beliau juga mempersoalkan keputusan memilih subjek matematik dan sains untuk diajar dalam bahasa Inggeris berbanding banyak subjek lain yang diajar dalam sistem pendidikan Malaysia.

Farid, warga Malaysia yang bertugas sebagai profesor sosiologi di National University Singapura menyesali situasi yang dilihatnya sebagai kekurangan usaha dalam kalangan institusi di Malaysia untuk memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa penerbitan kajian akademik bermutu tinggi.

“Mereka yang mempunyai standard penulisan kertas akademik yang tinggi lebih cenderung menulis dalam bahasa Inggeris” katanya, dengan menambah kurangnya kreativiti dalam sastera Melayu moden dan hiburan popular juga menyumbang kepada merosotnya prestij bahasa kebangsaan itu.

Beliau mengakui rendahnya standard jurnal berbahasa Melayu adalah salah satu sebab penyelidik keberatan untuk menulis dalam bahasa itu, tetapi berkata masalah itu boleh diatasi dengan “mudah” sekiranya penerbit melantik editor yang memahami bahasa akademik dan menekankan standard yang tinggi.

Beliau mencadangkan supaya universiti menyediakan insentif kepada ahli akademik untuk menerbitkan jurnal berbahasa Melayu, bukannya terus obses “mengejar penarafan”, sekali gus menggalakkan penyelidikan ditulis dalam bahasa Inggeris agar ia dipetik dalam pangkalan data antarabangsa.

“Pemimpin universiti harus memberi ganjaran kepada mereka yang berfikir secara bebas,” katanya.

Farid juga mempersoalkan fenomena yang diistilahkan sebagai “eurocentrism” dalam banyak kajian dan pengajaran di universiti, dengan berkata adalah jelas bahawa rujukan kepada warisan sejarah, falsafah dan kebudayaan timur semakin diketepikan.

Beliau mendakwa pelajar universiti hari ini umumnya tidak mempunyai pengetahuan tentang ilmuan dunia Melayu seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Bukhari al-Jauhari.

“Mereka mungkin pernah mendengar tentang Munshi Abdullah tetapi mereka tidak mengetahui ideanya.”

Katanya, “eurocentrism” merupakan salah satu kesan buruk globalisasi.

“Jika kita benar-benar mahu menjadi kosmopolitan dan ‘global’, maka kita harus berasa selesa dengan semua peradaban,” kata beliau.

Beliau berkata, ilmuan Islam silam belajar daripada (peradaban) barat dan timur.

“Ramai mereka berbangsa Parsi, tetapi fasih berbahasa Arab, menulis dalam bahasa itu dan merupakan sebahagian daripada tradisi intelektual yang lebih luas. Mereka mengkaji karya Greek dan India, selain belajar daripada ilmuan timur dan barat. Mereka membangunkan ilmu asli.”

Hamzah Fansuri, seorang ahli sufi abad ke-16 di Sumatra, umumnya dipercayai merupakan orang pertama yang menghuraikan, dalam bahasa Melayu, konsep “wahdat ul-wujud” yang lazimnya diterjemahkan sebagai “kesatuan kewujudan”.

Beliau juga dianggap sebagai penyair pertama yang merakamkan karyanya dalam bahasa Melayu tulisan.

Nuruddin Ar-Raniri adalah ilmuan abad ke-17 yang berasal dari India, tetapi menghasilkan karya utama beliau, Bustanus al-Salatin atau Taman Raja-raja, sewaktu menetap di Acheh. Ia ditulis dalam bahasa Melayu. Karya beliau dianggap sebagai contoh tertua keilmuan Islam di Asia Tenggara.

Seorang lagi ilmuan abad ke-17 yang berpangkalan di Acheh, Bukhari al-Jauhari, terkenal dengan karya beliau yang juga ditulis dalam bahasa Melayu, iaitu Taj al-Salatin atau Mahkota Raja-raja.

Buku ini, yang membicarakan topik pemerintahan atau kerajaan, sangat berpengaruh bukan sahaja dalam kalangan bangsawan Sumatra, tetapi juga raja-raja Jawa dan pemerintah Belanda di Indonesia.

Munshi Abdullah, atau nama sebenarnya Abdullah bin Abd al-Kadir Munshi, merupakan penulis berdarah kacukan Malaya abad ke-19. Beliau merupakan seorang guru dan popular sebagai salah seorang pembaharu terhebat kesusteraan Melayu.

Beliau dikenali sebagai Bapa kesusteraan Melayu moden.

Karya Abdullah yang paling penting ialah sebuah autobiografi berjudul Hikayat Abdullah dan rakaman perjalanan beliau menunaikan ibadat haji ke Mekah.