China sekat akses kepada suspek Australia disyaki mengintip, kata peguam

Yang Hengjun. (Gambar AFP)

BEIJING: Pihak berkuasa China menyekat akses 2 peguam yang dilantik isteri seorang warga Australia yang ditahan di Beijing kerana disyaki mengintip atas alasan orang tahanan tidak bersetuju dengan pelantikan mereka.

Yang Hengjun, seorang penulis berusia 53 tahun, ditahan di Guangzhou di selatan negara itu semasa menunggu pesawat ke Shanghai bulan lepas. Dia tiba ke negara itu daripada New York, Amerika Syarikat.

Yang dibawa ke Beijing, di mana China berkata dia ditahan Biro Keselamatan Negara bawah “langkah-langkah paksaan”, ungkapan halus bagi penahanan, semasa disiasat kerana disyaki “membahayakan keselamatan negara”.

Salah seorang peguam, Mo Shaoping berkata biro pada Jumaat memaklumkan Yang tidak menerima peguam lantikan keluarga. Mo berkata biro menolak permohonan untuk mengesahkan perkara itu dengan Yang.

Seorang lagi peguam, Shang Baojun memberitahu Reuters: “Kami ingin tahu sama ada ini benar-benar hasrat Yang Hengjun.”

Mereka berharap dapat lebih banyak maklumat apabila pegawai kedutaan Australia dibenarkan bertemu Yang lagi, kata Shang.

Kementerian Keselamatan Negara China dalam satu faks meminta soalan diajukan kepada agensi yang bertanggungjawab dalam kes itu. Ia sebelum ini berkata hak dan kepentingan Yang dilindungi mengikut undang-undang.

Mo sebelum ini memberitahu Reuters anak guamnya disyaki mengintip dan ditahan bawah “pengasaran rumah di satu tempat khusus.”

Langkah penahanan khas membolehkan pihak berkuasa menyoal suspek selama 6 bulan tanpa akses kepada peguam. Kumpulan hak asasi berkata ketiadaan pemantauan menimbulkan kebimbangan mengenai penderaan oleh penyiasat.