Dr M saran ladang sawit pelbagaikan tanaman tangani harga jatuh

Dr Mahathir Mohamad berkata penamanan secara bersepadu memerlukan disiplin, ilmu dan daya usaha yang kuat. (Gambar Bloomberg)

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan ladang sawit dan getah pelbagaikan hasil menerusi penanaman tanaman kontan secara campuran bagi mengatasi kesan kejatuhan harga.

Beliau berkata demikian dalam satu video yang dimuatnaik di Facebooknya, selepas kagum melihat kebun-kebun pertanian sekitar Selangor.

Dr Mahathir turut menyarankan para petani pelbagaikan tanaman mereka.

“Saya terkejut melihat perladangan secara teratur. Inilah cara yang kita boleh bergantung untuk sara hidup.

“Luasnya tak begitu besar tapi kalau tanam sawit (sahaja), hari harga jatuh, kita akan menangis. Tapi kalau kita ada satu bahagian tanaman kontan, maka kita tidak akan terperangkap dengan kejatuhan harga sawit ataupun getah.”

Dr Mahathir menambah penamanan secara campuran memerlukan disiplin, ilmu dan daya usaha yang kuat.

“Kita kena rajin, kurangkan pergantungan kepada pekerja asing, sebaliknya kita boleh buat sendiri,” katanya.

“Kita kena tukar cara kita dan akan berjaya sebagai peladang moden. Itulah hasrat kita,” katanya.