Gong xi fa cai, babi dan histeria yang menjadi-jadi

Pada Selasa ini, kaum Cina akan menyambut Tahun Baru. Mengikut kalendar zodiak mereka, tahun akan datang ini merupakan giliran tahun haiwan babi. Boleh ke lagi guna istilah “babi” atau kena guna “khinzir” daripada bahasa Arab? Tetapi haiwan yang dirujuk masih sama, bak kata sasterawan Shakespeare, “a rose by any other name would smell as sweet”.

Adakah tidak lama lagi “anjing” pula akan diganti dengan istilah bahasa Arabnya?

Semasa zaman sekitar kemerdekaan, anak-anak Melayu di tadika-tadika diajar puisi berima “The Three Little Pigs”. Tidak ada pula ibu bapa tersinggung. Namun histeria kecil mula berputik pada 1995 apabila filem “Babe” diterbitkan.

“Babe” mengisahkan seekor anak babi menjadi seperti anjing pengembala biri-biri. Tayangan filem tersebut diharamkan di panggung kerana dikhuatiri akan menyinggung perasaan kaum Melayu. Bagaimanapun, setahun kemudian pengedaran video “Babe” dibenarkan.

Ketika ini, seolah ada peraturan tak bertulis gambar babi tak wajar dipamerkan di tempat awam. Maka tiadalah patung serta wajah babi menjadi hiasan pusat beli-belah untuk menyambut Tahun Baru Cina, semata-mata untuk mengelak berlakunya histeria anti-babi. Walau pun sebuah universiti tempatan menempa kejayaan mencipta “anti-histeria kit” namun gejala histeria bukan sahaja tidak dapat dibendung malah menjadi lebih parah.

Ada kalangan mereka yang terjangkit seperti ternampak bayangan babi di merata tempat. Pada 2015, haiwan wombat yang merupakan mascot sebuah syarikat terkemuka Australia digunakan dalam iklan sambutan Hari Raya. Malangnya ada golongan sensitif membayangkannya sebagai haiwan babi. Maka diturunkanlah iklan tersebut sebagai langkah berhati-hati untuk mengelak sebarang kesan sampingan.

Pada bulan lepas, gambar hidangan masakan daging lembu wagyu dalam majalah Penerbangan Malaysia Berhad pula dibayangkan sebagai hidangan masakan babi.

Mengapa keadaan ini semakin menjadi-jadi? Adakah ini sebahagian konspirasi sebalik tabir untuk mewujudkan fenomena mentaliti terkepung serta membangkitkan kemarahan dalam kalangan orang Melayu? Adakah ini kelak akan memudahkan kumpulan tertentu tampil ke depan sebagai pelindung dan pejuang maruah bangsa Melayu-Islam?

Persoalannya ialah bagaimana hukum haram memakan daging babi sudah terkena pada gambar haiwan tersebut?

Malangnya, tiada banyak pihak yang cuba membendung gejala ini. Lebih malang lagi apabila pihak yang dituduh tidak mempertahankan kedudukan sebenar. Walaupun Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad memberi penjelasan namun tetap memohon maaf semata-mata kerana ada segolongan yang terbayangkan hidangan babi.

Syarikat antarabangsa tersebut turut memberi jaminan istilah “pork” tidak lagi akan digunakan dalam majalah penerbangannya. Langkah seperti ini bukan sahaja bermaksud kita mengalah kepada gejala kesempitan pemikiran tetapi secara tidak langsung menggalakkannya.

Apabila timbulnya kontroversi seperti ini, menjadi tanggungjawab pemimpin termasuk agamawan untuk memberi serta menyebarkan penjelasan yang sebenar. Memilih untuk mendiamkan diri atas sebab-sebab tertentu secara tidak langsung menyumbang kepada kelemahan jati diri kaum Melayu. Jangan dibiarkan pihak-pihak berpentingan sempit cuba mengalihkan kita daripada usaha memajukan kaum Melayu, dengan isu-isu yang di ada-adakan.

Sensitiviti yang tidak kena tempat seperti ini mesti dicantas sehabis habisnya sebelum ia berpeluang menjadi perosak pemikiran. Kita semestinya berusaha meningkatkan daya pemikiran orang Melayu. Gejala ini juga akan melaga-lagakan rakyat berbilang kaum serta menjadi penghalang kepada perpaduan negara.

Sama ada terdapat atau tiadanya perhiasan haiwan babi, jom kita sambut perayaan Tahun Baru Cina dengan meriah.

Xin nian kwai le.

RJ Majid ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.