Jeffrey: GBS tidak berpecah

Presiden STAR Jeffrey Kitingan berkata, walaupun GBS kini tidak menonjol, ia aktif dalam media alternatif dan media sosial.

KOTA KINABALU: Pakatan pembangkang, Gabungan Bersatu Sabah (GBS) menyangkal khabar angin yang mendakwa ia telah berpecah, sebaliknya berkata, ia mengambil pendekatan tidak menonjol sebelum didaftarkan.

Presiden parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Jeffrey Kitingan berkata, gabungan itu diberikan amaran bahawa penggunaan nama GBS adalah salah kerana ia belum berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Itulah sebabnya kami agak diam buat masa ini,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata, permohonan perdaftaran GBS dikemukakan kepada RoS Selasa lepas.

GBS diwujudkan pada Oktober tahun lepas, dengan dianggotai oleh STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan saki-baki ahli Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Bagaimanapun tidak ada kenyataan bersama atau aktiviti melibatkan pemimpin mereka akhir-akhir ini, justeru munculnya spekulasi perpecahan mereka.

Jeffrey, yang merupakan salah seorang timbalan pengerusi sementara gabungan berkenaan menolak khabar angin itu dan berkata, GBS kini sibuk memuktamadkan perlembagaan, logo dan bendera mereka.

“Pada Selasa (lepas) setelah semua isu ini disempurnakan, permohonan pendaftaran parti dikemukakan kepada RoS,” katanya.

Jeffrey menafikan kewujudan perselisihan dalam kalangan pemimpin GBS dan berkata, mereka kerap bertemu secara tertutup.

Pada masa sama katanya, setiap parti juga sibuk menangani masalah dalaman masing-masing.

“Dalam konteks bekas pemimpin Umno Sabah, melainkan mereka yang keluar parti, yang lain masih utuh,” katanya.

Jeffrey berkata, walaupun GBS tidak menonjol, gabungan itu aktif dalam media alternatif dan media sosial.

“Saya yakin GBS adalah jalan ke depan bagi pembangkang di Sabah,” katanya.