Kerajaan Yaman-Houthi mesyuarat atas kapal bincang pengunduran tentera

Militan Houthi di Yaman. PBB sedang menyelia pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dan pengunduran tentera di Hodeibah, laluan utama sebahagian besar import Yaman, dengan harapan ia akan membawa kepada satu penyelesaian politik. (Gambar AFP)

DUBAI/ADEN: Perwakilan daripada kerajaan Yaman dan Houthi bertemu di sebuah kapal di Laut Merah hari ini dalam usaha Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melaksanakan pengunduran tentera dari pelabuhan utama negara itu, Hodeibah seperti yang disetujui dalam rundingan damai pada Disember, kata pegawai PBB.

PBB sedang menyelia pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dan pengunduran tentera di Hodeibah, laluan utama sebahagian besar import Yaman, dengan harapan ia akan membawa kepada satu penyelesaian politik dalam perang hampir 4 tahun itu.

Tentera kerajaan dan Houthi sepatutnya berundur pada 7 Januari lepas dalam usaha mengelakkan serangan besar-besaran ke atas Hodeibah, tetapi gagal berbuat demikian kerana Houthi dan kerajaan Yaman tidak bersetuju tentang siapa yang patut mengawal bandar dan pelabuhan itu.

Mereka bertemu di atas kapal PBB kerana usaha menganjurkan mesyuarat ketiga di kawasan yang angkatan bersekutu gagal kerana Houthi tidak mahu melepasi barisan hadapan, kata sumber. Mesyuarat sebelum ini diadakan di kawasan yang dikuasai Houthi, diikuti dengan ulang alik ketua misi PBB, Patrick Cammaert antara kedua belah pihak.

Jurucakap perwakilan kerajaan Yaman, Sadiq Dweid berkata mesyuarat hari ini membincangkan cadangan pengunduran tentera yang dikemukakan Cammaert.

“Mesyuarat-mesyuarat ini akan diteruskan,” katanya.

Houthi menguasai kebanyakan pusat-pusat bandar di negara itu manakala kerajaan Yaman menguasai pelabuhan Aden dan pekan-pekan pesisir pantai.