Menteri nafi kata kerajaan Sabah akan isytihar Bugis, Jawa pribumi

Aidi Moktar dikecam kerana didakwa berkata kerajaan negeri akan mengiktiraf orang Bugis dan Jawa sebagai pribumi. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Aidi Moktar nafi mengatakan kerajaan negeri akan mengiktiraf orang Bugis dan Jawa sabagai pribumi.

Aidi, yang dikecam kerana didakwa mengumumkan perkara itu, berkata terserah kepada kerajaan Sabah untuk menentukan sama ada kedua-dua masyarakat itu boleh diterima sebagai pribumi atau tidak.

“Saya tak pernah kata kerajaan akan iktiraf 2 kumpulan etnik itu.

“Perkara itu terserah kepada kerajaan negeri untuk dibincangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menjelaskan ucapannya ketika menyerahkan surat pelantikan kepada ketua-ketua masyarakat pribumi daerah Tawau pada Jumaat.

Aidi berkata dia memberitahu hadirin tentang masalah orang Bugis dan Jawa kerana mereka tidak dimasukkan dalam senarai pribumi.

Keadan itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menggantung pelantikan orang Bugis dan Jawa sebagai ketua masyarakat pribumi.

“Ini isu perundangan yang sedang ditangani kementerian yang tidak meminggirkan mana-mana kaum bukan pribumi,” katanya.

Aidi menjelaskan pelantikan orang bukan pribumi sebagai ketua masyarakat pribumi digantung buat sementara waktu sehingga Mahkamah Anak Negeri mengesahkan status mereka.

Beliau berkata ada cadangan melantik beberapa pemimpin masyarakat Bugis dan Jawa sebagai ketua masyarakat pribumi di daerah-daerah, tetapi tidak dapat dilakukan kerana mereka terlebih dulu perlu dimasukkan dalam kategori pribumi.

Beliau berkata Mahkamah Anak Negeri mungkin boleh meluluskan status mereka bawah Seksyen 2D Ordinan Tafsiran (Definisi Anak Negeri) (Sabah) dengan syarat-syarat tertentu.

“Saya beritahu orang ramai supaya tunggu isu itu diselesaikan oleh Mahkamah Anak Negeri sebelum isu ketua-ketua masyarakat pribumi di daerah-daerah daripada masyarakat Bugis dan Jawa dapat diselesaikan,” katanya.

Ucapannya sebelum ini mengundang kritikan daripada pemimpin-pemimpin pribumi dan pembangkang.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Jeffrey Kitingan berkata menurut Perlembagaan Persekutuan, seorang pribumi adalah seorang warganegara, anak atau cucu seseorang daripada kaum asal Sabah, dan dilahirkan di Sabah atau ketika lahir mempunyai bapa yang menetap di Sabah.

Persatuan Sino-Kadazan Dusun Murut Sabah tersinggung, terutama kerana Sino-KDM sekian lama menunggu mereka diiktiraf sebagai pribumi Sabah.

Parti pemerintah, Warisan pula menegaskan kenyataan tersebut tiada kaitan dengan pendirian parti. Setiausaha Agung Loretto Padua berkata Aidi cuma menyuarakan pandangan peribadi.

Loretto berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat parti.