PAS tak kisah Sarawak Report tak turunkan artikel

Artikel mendakwa RM90 juta ‘dipercayai’ dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS masih dalam talian.

PETALING JAYA: PAS berkata ia sudah tidak lagi kisah laman Sarawak Report tidak menurunkan artikel yang menjadi pertikaian antara mereka, susulan penyelesaian luar mahkamah antara Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan editor Clare Rewcastle-Brown.

Naib Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata artikel itu tidak akan mendatangkan kesan kepada parti itu.

“Turun atau tidak pun, orang ramai sudah baca. Sudah bertahun-tahun berita itu. Tidak ada kesan kerana semua orang sudah tahu,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Rewcastle-Brown gembira Hadi bersetuju untuk menyelesaikan saman fitnah terhadapnya di luar mahkamah tetapi menegaskan artikel yang menjadi pertikaian itu masih dalam talian dan tidak diubah.

Hadi memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London susulan satu artikel yang ditulis oleh Rewcastle-Brown dan diterbitkan portal berita Sarawak Report pada 6 Ogos 2017.

Artikel itu mendakwa dana berjumlah RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dalam tuntutan balasnya yang difailkan pada 11 Oktober tahun yang sama, Rewcastle-Brown mendakwa Hadi bersekongkol dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak atau ejennya untuk memburukkan beliau dan portal berita itu.

Presiden PAS dilaporkan bersetuju untuk menarik balik tuntutan beliau terhadap editor yang berpangkalan di London itu sebagai defendan, sementara Rewcastle-Brown juga bersetuju menarik tuntutannya terhadap Hadi.