Pemandu e-panggilan gesa kerajaan wajibkan penggunaan ‘dashcam’

Baru-baru ini tular rakaman video di sebuah negara jiran menunjukkan seorang pemandu Go-Jek dituduh cuba menculik seorang penumpang perempuan yang menaiki kenderaan beliau. (Tangkap layar Youtube)

PETALING JAYA: Persatuan Pemandu Perkhidmatan e-Hailing Malaysia (Mehda) menyarankan supaya Kementerian Pengangkutan menetapkan satu undang-undang mewajibkan penggunaan kamera ‘dashboard’ atau ‘dashcam’ oleh setiap pemandu e-panggilan di negara ini.

Presidennya Daryl Chong berkata, peraturan itu perlu bagi melindungi pemandu daripada dakwaan tidak berasas sesetengah penumpang sehingga boleh menjejaskan periuk nasi mereka.

Katanya, perkara itu juga perlu bagi menjamin keselamatan kedua-dua pemandu dan penumpang yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Pemasangan kamera ini banyak kebaikannya. Ia dapat melindungi pemandu e-panggilan dan juga keselamatan penumpang. Kedua-dua pihak dapat kelebihan.

“Sebagai contoh, kamera ‘dashboard’ yang merakam kejadian di dalam kereta dapat merakam sebarang perbuatan jenayah seperti merompak atau perlakuan tidak senonoh.

Presiden Persatuan Pemandu Perkhidmatan e-Hailing, Daryl Chong.

“Jadi sudah tiba masa kerajaan mewajibkan pemandu e-panggilan memasang kamera ‘dashboard’ dalam kereta mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas video tular di sebuah negara jiran yang menunjukkan seorang pemandu Go-Jek dituduh cuba menculik seorang penumpang perempuan yang menaiki kenderaan beliau.

Video berdurasi lebih 7 minit itu mendapat perhatian netizen, selain menyifatkan pemasangan kamera dalam kenderaan pemandu tersebut menyelamatkan dirinya daripada dituduh menculik dan diberhentikan syarikat perkhidmatan itu.

Daryl berkata, pada ketika ini ramai pemandu e-panggilan yang diberhentikan berikutan aduan daripada penumpang.

Katanya, mereka gagal membela diri apabila tidak mempunyai bukti kukuh bagi menafikan aduan yang dibuat terhadap mereka.

Justeru ujarnya, keadaan itu adalah tidak adil kepada pemandu e-panggilan apabila syarikat terpaksa lebih “membela” penumpang selepas menerima aduan.

“Selama ini banyak berlaku penindasan terhadap pemandu e-panggilan. Kalau ada bukti, periuk nasi mereka mungkin tidak akan dirosakkan begitu sahaja oleh pihak syarikat.

“Dengan adanya ‘dashcam’ yang dapat merakam perbuatan di dalam dan luar kereta, penumpang tidak boleh mendakwa secara membuta-tuli bahawa pemandu membawa dengan kelajuan yang melebihi had, misalnya,” katanya lagi.

Menurutnya pada ketika ini masih tidak ada undang-undang yang mewajibkan pemandu e-panggilan memasang kamera berkenaan di dalam kenderaan mereka.

“Mereka juga tidak beli kerana kos kamera ‘dashboard’ agak mahal, iaitu berharga dalam RM200 ke RM300. Dalam keadaan mereka kini susah nak cari makan, agak sukar bagi mereka untuk membelinya,” katanya lagi.

Baginya, syarikat perkhidmatan e-panggilan boleh membantu pekerja mereka dengan menawarkan pembelian kamera kepada pemandu yang memerlukan.

“Syarikat e-panggilan boleh beli kamera untuk pekerja mereka terlebih dahulu, kemudian tetapkan pembayaran secara ansuran kepada mereka yang kurang berkemampuan,” cadangnya.