Pengerusi MTNg Kelantan tak mesti dari Amanah, PKR negeri jawab bantahan

Mohd Supardi Md Noor berkata pengerusi yang dipilih mestilah melaksanakan tugas dengan baik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: PKR Kelantan hari ini berkata tidak semestinya pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan dipilih daripada pimpinan Amanah, selepas parti Islam itu membantah pelantikan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi Datuk Seri Mohd Supardi Md Noor berkata sesiapa pun boleh dipilih, walaupun selepas Amanah mendakwa Pakatan Harapan bersetuju ia yang menguruskan Kelantan.

“Kita tidak ada bantahan sesiapa pun dipilih, tidak kisah, yang penting mestilah melaksanakan tugas dengan baik dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya kepada FMT.

Supardi mengulas tindakan Amanah Kelantan membantah pelantikan Azmin sebagai pengerusi MTNg Kelantan, yang akan menyelaras, memantau dan mengesan pelaksanaan dasar, rancangan dan projek pembangunan Putrajaya di negeri itu.

Semalam, Naib Pengerusi Che Ibrahim Mohamed dilapor mendakwa pelantikan Azmin melanggar persetujuan dalam majlis presiden PH sebelum pilihan raya umum lepas, iaitu Kelantan, Terengganu dan Melaka akan diuruskan parti serpihan PAS itu.

Che Ibrahim berkata jawatan pengerusi itu sepatutnya dipegang oleh Datuk Husam Musa, yang juga pengerusi PH Kelantan, atau daripada kalangan menteri-menteri Amanah.

Naib Presiden Salahuddin Ayub berkata isu pelantikan Azmin sudah dirujuk ke majlis presiden PH pada Jumaat dan sudah dibincangkan “secara baik”.

Sementara itu, PPBM Kelantan menerima pelantikan Azmin memandangkan ia adalah keputusan Kabinet.

“Patut pemimpin Amanah dalam Kabinet mempersoalkannya. Dia kan ada 5 orang dalam itu. PPBM tidak ada masalah, kita terima keputusan kerajaan,” kata Pengerusi Datuk Kamaruddin Md Noor kepada FMT.

Menteri dari Amanah ialah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi dilantik sebagai pengerusi MTNg Kelantan berkuatkuasa 1 Januari lepas.