Perayaan Tahun Baru Cina diraikan selama 15 hari dan ia akan ditutup dengan Perayaan Chap Goh Mei yang juga dikenali sebagai Hari Kekasih versi masyarakat Cina.

Kalendar masyarakat Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun. Setiap tahun akan dinamakan mengikut nama haiwan tahun lunar tersebut. Dua belas haiwan yang terdapat dalam kalendar lunar adalah tikus, lembu, harimau arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing dan khinzir. Setiap haiwan membawa pengertiannya yang tersendiri.Tahun Baru Cina pada tahun 2019 ini merupakan tahun khinzir iaitu haiwan yang ke-12 yang juga merupakan haiwan yang terakhir dalam kitaran kalendar lunar masyarakat Cina.

Bagi masyarakat Cina, hari pertama tahun baru melambangkan titik permulaan nasib yang baharu dalam kehidupan mereka. Ianya diraikan dengan penuh adat resam mengikut kepercayaan dan pantang larang yang diamalkan oleh nenek moyang sejak turun-temurun.

Sibuk berkemas

Bagi keluarga saya, sebulan sebelum menjelang Tahun Baru Cina kami sekeluarga akan sibuk membersih dan mengemas rumah. Semua tingkap, lantai, seluruh kawasan rumah dan setiap penjuru rumah akan dicuci, disapu dan disental sebersih-bersihnya untuk mengeluarkan segala kekotoran dan habuk. Kain langsir yang baharu hanya akan dipasang selepas keadaan rumah benar-benar bersih.

Semua aktiviti ini dipercayai akan membuang semua nasib malang dan bersedia untuk menyambut nasib yang baik. Penyapu disorok daripada pandangan mata supaya nasib yang baik dan bakal tiba tidak disapu keluar dari rumah. Mencuci rambut juga ditegah pada hari pertama tahun baru sebab ia membawa maksud mencuci semua nasib baik yang akan diterima pada hari tersebut. Segala hutang dikutip dan dilangsaikan sebelum hari pertama Tahun Baru Cina agar kita tidak dikelilingi hutang sepanjang tahun baru. Bekas menyimpan beras akan diisi dengan penuh dan kertas merah yang tercetak aksara moon dalam bahasa Kantonis yang membawa maksud penuh akan ditampal di hadapan bekas menyimpan beras tersebut. Ia bermaksud rezeki yang tidak akan terputus sepanjang tahun.

Mendiang ayah dan ibu saya amat menitikberatkan ciri-ciri tradisional termasuk hiasan yang membawa keberkatan yang akan dipasang beberapa hari sebelum menjelang Tahun Baru Cina. Selain 2 biji tanglung merah, kain riben merah juga dipasang di hadapan pintu besar rumah kami. Hiasan seni guntingan kertas mengikut bentuk perkataan yang membawa tuah dan keberkatan juga dilekat di dinding dalaman rumah. Kertas perhiasan berwarna merah yang disaluti dengan warna emas dengan cetakan aksara fook dalam bahasa Kantonis yang bermaksud tuah dipamerkan di sekitar rumah dan pintu besar.

Perhiasan 8 pasu pokok limau setinggi 2.4 meter (8 kaki) dan berbuah lebat juga menjadi pilihan kedua orang tua saya. Pokok limau dipercayai akan mendatangkan lebih banyak keuntungan, rezeki dan kekayaan yang melimpah-ruah. Dalam bahasa Kantonis pokok limau dipanggil “kam” bermakna emas dan simbol kekayaan serta keuntungan. Kami juga membeli pokok nenas kerana nenas membawa unsur positif. Nenas dalam bahasa Kantonis dipanggil “wong lai” yang juga bermaksud ‘ong’ mari iaitu tuah datang.

Sambutan Tahun Baru Cina tidak akan lengkap tanpa hiasan bunga-bungaan yang diamalkan oleh mendiang ayah dan ibu saya. Bunga teratai dan kekwa merah serta kuning yang membawa simbolik harapan, aman damai dan ketenangan menjadi pilihan kami.

Malam tahun baru

Walaupun saya membesar di kampung Melayu (Selayang Baharu), namun ianya sedikit pun tidak menghalang semua ahli keluarga untuk berpesta dan meraikannya dengan penuh meriah. Kami percaya pada malam makan besar, semua perkara yang tidak baik akan berakhir dan berlalu.

Bagi keluarga saya, malam sebelum Tahun Baru Cina adalah malam yang jauh lebih penting berbanding hari pertama perayaan itu. Ia merupakan aktiviti utama yang mesti dilakukan kerana malam tersebut dapat mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga yang sekian lama tidak berjumpa. Bagi saya ia adalah malam yang sangat menggembirakan dan paling meriah. Tidak kira di mana jua mereka berada, 5 orang abang saya tetap akan pulang selewat-lewatnya pada petang sehari sebelum Tahun Baru Cina. Saya sebagai anak perempuan tunggal dan bongsu memang manja dengan abang-abang saya.

Pada malam tersebut kami akan berkumpul dan sama-sama berjaga sehingga awal pagi. Masyarakat Cina percaya dengan berbuat demikian anak-anak membuat pahala dan usia ibu dan bapa akan dipanjangkan oleh tuhan kerana ketaatan anak-anak tersebut. Seluruh ahli keluarga akan berkumpul dengan mengadakan jamuan makan besar.

Kami bukan sahaja bersembang tetapi memberi juga kata-kata motivasi dan positif bagi mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga terdekat. Kami sekeluarga akan memakai pakaian baru berwarna merah. Warna merah dipercayai bukan sahaja dapat menghalau roh yang jahat tetapi juga dapat membawa keberkatan dan kesejahteraan. Memakai pakaian baharu juga simbolik permulaan hidup yang baharu, penuh dengan harapan yang baharu.

Makan besar

Hidangan makan besar masyarakat Cina memang simbolik serta mengikut tradisi peninggalan nenek moyang kami. Setiap makanan yang dihidangkan mewakili harapan dan keinginan kami ingin kecapi pada tahun baru. Semua makanan yang dihidangkan harus membawa maksud yang positif serta penuh dengan kebaikan.

Antara hidangan makanan yang wajib dihidangkan adalah yee sang, yang melambangkan simbol kemewahan, penyatuan dan kemurahan rezeki yang akan diperolehi sepanjang tahun. Pengertian yee dalam bahasa Kantonis iaitu ikan yang turut membawa pengertian kekayaan yang berkekalan dan sang merujuk kepada mentah, hidup dan kebangkitan. Lou hei bermakna menggaul naik. Perkataan lou sang dan lou hei aaa…… dalam bahasa Kantonis akan disebut dengan suara yang tinggi dan berulang kali dengan harapan ia dapat memberi kesihatan yang baik, kemakmuran dan kemewahan hidup yang lebih baik. Keluarga kami percaya semakin tinggi yee sang itu digaul dan diangkat tinggi, maka kesihatan kami akan menjadi semakin baik. Kemakmuran dan kemewahan juga akan dikecapi pada tahun tersebut.

Antara hidangan utama lain adalah mee panjang umur atau sau min dalam bahasa Kantonis dan nin ko (bahasa Kantonis) atau kuih bakul yang bermakna kehidupan yang berjaya dan terus berjaya.

Hidangan ikan atau yue (bahasa Kantonis) yang membawa maksud lebihan bekalan yang masih tinggal di hujung tahun juga mesti disediakan. Masyarakat Cina percaya jika ada lebihan begini, pada tahun yang berikutnya lebihan itu boleh bertambah banyak.

Manakala hidangan udang atau har dalam bahasa Kantonis yang membawa maksud sentiasa ceria dengan gelak ketawa, sang choi dalam bahasa Kantonis atau sayur salad yang membawa maksud sentiasa hidup sihat walafiat dan kesuburan serta hidangan sayur faat choy hitam atau rumpai rambut hitam yang membawa maksud kaya-raya juga pasti menjadi menu yang akan dihidangkan.

Hidangan daun bawang atau chung membawa maksud kebijaksanaan dan saderi atau sai kan membawa maksud kerajinan. Sajian kuih bakul yang juga dikenali sebagai kuih tahunan atau nin koh dalam bahasa Kantonis memberi simbolik kepada pencapaian pada tahap yang cemerlang pada tahun yang mendatang.

Mercun tambah meriah

Saya masih ingat lagi sewaktu saya masih kecil sehingalah saya dewasa, setiap tahun menyambut Tahun Baru Cina, mendiang ayah akan membakar mercun menjelang tengah malam. Ini perkara wajib selain daripada menambahkan kemeriahan sambutan perayaan ini. Mendiang ayah saya akan memohon permit untuk membakar mercun. Mercun sepanjang 88 kaki (88 membawa maksud kaya raya) akan dipasang di tingkat 5 rumah kami sehingga menjurai ke tingkat bawah. Bunyi kuat yang membingitkan telinga itu dipercayai akan menghalau segala nasib malang, menolak bala serta mengusir puaka keluar dari kawasan rumah. Selepas pembakaran mercun itu selesai, dipercayai tuah dan peristiwa ria akan datang melimpah-ruah.

Rumah kami juga akan dihiasi dengan 8 pasu bunga kekwa merah, 8 pasu bunga kekwa kuning dan 8 pasu pokok buah limau yang lebat dan setinggi 8 kaki. Angka 8 dianggap bertuah kerana sebutannya lebih kurang sama bunyinya dengan kaya. Sampul merah yang dicetak dengan aksara Cina bertuah sebagai simbol murah rezeki pada tahun baru akan digantung pada pokok limau berkenaan.

Pada awal pagi pertama tahun baru, ahli-ahli keluarga yang lebih tua dan telah berkahwin seperti datuk, nenek, ayah, ibu, abang dan kakak ipar akan memberi wang ringgit dalam sampul merah (merah bermakna membawa tuah) atau dikenali sebagai ang bao kepada saya, ahli keluarga yang masih kecil dan yang belum mendirikan rumah tangga.

Tradisi memberi ang bao ini bermakna generasi tua akan memberi keberkatan dan tuah yang berpanjangan kepada generasi muda. Generasi tua iaitu ayah, ibu, semua abang dan kakak ipar saya juga akan mendoakan agar segala-galanya berjalan lancar dan akan membawa tuah kepada saya pada tahun yang mendatang ketika menghulurkan ang bao. Jumlah wang dalam ang bao yang diberikan oleh kedua orang tua saya selalunya adalah jumlah genap kerana jumlah ganjil hanya akan diberikan pada upacara pengebumian sahaja. Pemberian wang sebanyak RM4 ditegah sama sekali dalam keluarga saya kerana ia berbunyi seolah-olah mati dalam bahasa Kantonis.

(Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis)

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]