Polis rampas dadah RM5.6 juta, tahan 3 suspek di Selangor

Dadah berkenaan dibawa dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan mampu menampung 300,000 pengguna.

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki ditahan dan polis merampas 92.7 kilogram (kg) dadah disyaki ketamin bernilai RM5.6 juta dalam operasi di sekitar Selangor, Jumaat lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman DCP Zulkifli Ali berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki yang ditahan dalam sebuah kereta jenis Nissan Almera di Jalan Jengka, Subang Jaya di sini kira-kira 7.40 malam.

Beliau berkata, penahanan lelaki berusia 41 tahun itu membawa kepada penemuan 90 bungkusan dadah di dalam bungkusan teh Cina yang disembunyikan dalam guni dan diletakkan di tempat duduk belakang kereta itu.

Tangkapan kedua pula melibatkan 2 lelaki masing-masing berusia 49 dan 54 tahun di kawasan Rehat & Rawat Sungai Buloh di dalam sebuah kereta Perodua Axia.

“Kami percaya dadah itu dibawa dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang…bekalan dadah ini mampu menampung 300,000 pengguna,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, sebungkus dadah berkenaan dianggarkan seberat 1 kilogram dan dijual dengan harga RM60,000 sehingga RM65,000 di pasaran.

Polis turut menyita 3 kenderaan milik suspek, iaitu Toyota Vios, Nissan Almera dan Perodua Axia selain wang tunai RM8,000 dan seutas jam tangan jenama Titan, katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga lelaki direman 7 hari sehingga 8 Feb bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Zulkifli berkata, seramai 17,363 orang ditangkap kerana terlibat dalam kes dadah sepanjang bulan lepas membabitkan nilai rampasan RM90.1 juta.

Seramai 16,245 yang ditahan itu rakyat tempatan, manakala 1,118 lagi rakyat asing dan dadah yang dirampas terdiri daripada syabu seberat 611kg; ketamin (10kg); pil eramin 5 (3.34kg); pil yaba (3.19kg); pil ekstasi (6.7kg), ganja (5.18kg); dan heroin (83.62kg), katanya.