Sarawak tarik pelabur Cina, Korea Selatan, kata Abang Johari

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Tun Openg berkata, pelabur yakin terhadap dasar kerajaan yang konsisten dan jelas. (Gambar Bernama)

KUCHING: Pelabur, terutama dari China dan Korea Selatan, terus menyokong program perindustrian Sarawak kerana kestabilan politiknya, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, pelabur terbabit, khususnya yang berminat ke atas Taman Perindustrian Samalaju dan Taman Teknologi Tinggi Samajaya di sini, juga yakin terhadap dasar kerajaan yang konsisten dan jelas, manakala keupayaan tenaga boleh perbaharunya sangat besar.

“Kejayaan Taman Teknologi Tinggi Samajaya juga menggalakkan. Pada minggu lepas, saya melancarkan fasa pertama kemudahan pengeluaran ‘elecfoil’ di Samajaya bernilai RM400 juta.

”Jumlah pelaburan oleh syarikat di Samajaya melebihi RM12 bilion dan lebih banyak syarikat asing menunjukkan kesediaan mereka untuk melabur di sana,” kata Abang Johari dalam mesej Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Mengenai Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE), beliau berkata, sehingga kini, SCORE mencatatkan kira-kira RM80 bilion pelaburan awam dan swasta.

Beliau berkata, menerusi Rancangan Pembangunan SCORE, negeri itu dijangkakan menjana kira-kira RM334 bilion pelaburan, yang apabila direalisasikan sepenuhnya, akan mewujudkan 1.6 juta peluang pekerjaan baru, terutama bagi golongan muda Sarawak.

Beliau yakin ekonomi Sarawak akan berkembang pada kadar yang menggalakkan dalam beberapa tahun akan datang kerana dasarnya menjurus kepada pertumbuhan dan pengembangan, dengan pertumbuhan diunjurkan sebanyak 5% untuk 2019 berbanding 4.6% untuk 2018.