Sheikh Omar sudah bertugas di Yadim, malas layan Umno

Sheikh Omar Ali. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Wakil rakyat DAP yang dilantik sebagai ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) sudah bertugas secara rasmi dan tidak lagi mahu melayan karenah Umno.

Sheikh Omar Ali sukacita memaklumkan yang dia juga sudah menyertai mesyuarat pertamanya.

“Selepas ini akan menyusul mengenai hala tuju Yadim,” katanya kepada FMT.

Sheikh Omar berkata pertikaian sekitar pelantikannya sudah pun dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, yang berkata keputusan dibuat berdasarkan kelayakan yang dimilikinya.

Beliau menambah dia sekarang ini diberi amanah untuk menjalankan tugas di Yadim dengan sebaiknya.

“Pertikaian dari pembangkang itu biasa. Saya dah kata DAP tak memusuhi Islam. Sekiranya Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki atau Pengarah Strategik Pemuda Umno, Wan Agyl Wan Hassan anggap DAP memusuhi Islam, kita tak boleh kata apa,” katanya.

Semalam, Wan Agyl menjelaskan bantahan terhadap pelantikan Sheikh Omar berasaskan kepada janji Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum iaitu tiada lantikan politik dalam kerajaan.

Beliau juga menggesa DAP mengisytiharkan pendirian berkaitan Islam. Katanya, mungkin kerana setelah menang, terlalu ramai kepimpinan di dalam PH yang tidak mampu menahan godaan kuasa dan kedudukan.

Ditubuhkan pada 1974, Yadim memangkin penyebaran dakwah dan menyelaras kegiatan badan-badan dakwah agar seiring dengan dasar negara.

Ia kini dipimpin oleh Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kepada bekas mursyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat.