Sindiket cinta guna Islam untuk menipu di Terengganu

Polis berkata sebanyak 53 kes penipuan membabitkan ‘love scam’ dilapor di Terengganu tahun lepas dengan nilai kerugian sebanyak RM12 juta. (Gambar AFP)

KUALA TERENGGANU: Sindiket penipuan “love scam” kini dikesan menggunakan Islam untuk mempengaruhi mangsa di negeri itu bagi mengaut keuntungan mudah, kata Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail.

Beliau berkata taktik terbaru sindiket yang sebelum ini menggunakan cara “bermain cinta” itu dikesan apabila polis menerima beberapa aduan daripada mangsa yang mendakwa telah memindahkan sejumlah wang untuk membantu anggota sindiket mendalami agama Islam.

“Anggota sindiket akan memujuk rayu sehingga mangsa memasukkan sejumlah wang sehingga beratus ribu ringgit walaupun hanya kenal di talian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Aidi berkata sebanyak 53 kes penipuan membabitkan “love scam” dilapor di negeri itu tahun lepas dengan nilai kerugian sebanyak RM12 juta.

Terdahulu, Aidi menyaksikan serah terima tugas antara Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Fazlisyam Abdul Majid dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan Perundangan), Suffian Santong yang akan memangku jawatan itu, dan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Amran Mohd Ghani kepada timbalan beliau, Nurul Isma Khairuddin yang akan memangku jawatan itu.

Abdul Rahim Mat Din pula menerima tugas Ketua Polis Kuala Terengganu daripada Suffian Sulaiman yang sebelum ini memangku jawatan itu.