AES: Sejak dalam kerajaan, awak sudah berubah, Najib tegur Mahfuz

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang didakwa cuba mengelak daripada menjawab isu Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) diteruskan dan ditambah kerajaan sekarang.

Najib berkata, pendirian Mahfuz jauh berbeza sejak berada dalam kerajaan, walaupun pernah memberi jaminan AES akan dimansuh apabila pembangkang mengambil alih Putrajaya.

“Berpeluh-peluh pahlawan berani mati mansuh AES ini marah kerajaan pada masa silam itu. Kata kerajaan bodoh. Kerajaan zalim. Tak prihatin rakyat,” katanya di Facebook.

Najib berkongsi video ucapan Mahfuz di pentas ceramah Pakatan Rakyat sebelum pilihan raya umum ke-13.

Beliau seterusnya menarik perhatian pengikutnya pada jawapan Mahfuz kepada media semalam, mengatakan dia enggan melayan kritikan terhadap langkah kerajaan meneruskan dan menambah AES.

“Itu sahaja yang dia mampu jawab sekarang apabila sudah berpangkat timbalan menteri,” katanya.

Semalam, Mahfuz menepis kritikan Najib dengan berkata dia “tak mahu layan orang yang dah kecewa, yang tak tahu nak buat apa”.

Sementara itu, Najib cuba menjawab dakwaan kerajaannya memberikan projek AES kepada sebuah syarikat. Beliau mendakwa projek itu sebenarnya dimulakan dan dipilih sebelum dia menjadi perdana menteri.

“Apabila saya menjadi perdana menteri, kerajaan kita meminta LTAT untuk mengambil alih projek itu supaya LTAT boleh dapat sedikit pendapatan untuk veteran-veteran.

“Tetapi kerajaan Pakatan Harapan hari ini sudah mengambil balik projek ini dari LTAT dan semua wang saman yang dikutip kini masuk ke dalam Kementerian Kewangan.”

Bekas perdana menteri sebelum ini turut mempersoalkan kos kamera AES. Beliau mendakwa kos kamera pada zaman BN adalah RM170,000 berbanding RM200,000 sekarang.

Mahfuz ketika diminta menjawab kritikan terbaru Najib bertegas tidak mahu melayan bekas perdana menteri itu.

“Dia pun tak sama juga bercakap dulu. Dia pertahan AES, sekarang nak suruh hapus AES pula,” katanya.