Hazwan bangga jadi anak Melayu pandai buat yee sang

Hazwan menunjukkan yee sang yang sudah siap untuk 150 orang.

KUALA LUMPUR: Yee sang merupakan makanan wajib bagi masyarakat Cina tempatan ketika menyambut Tahun Baru Cina, namun itu tidak menjadi penghalang kepada Mohd Hazwan Mohd Othman, 33, untuk mempelajarinya.

Hazwan berkata antara sebab beliau kini pakar membuat yee sang berikutan minat yang mendalam terhadap hidangan unik tersebut disamping mahu menjadi anak Melayu yang pandai membuat makanan tradisional itu.

“Saya mengambil masa belajar untuk membuat yee sang dalam masa sebulan lebih selain mendapat dorongan daripada keluarga dan majikan.

“Saya mempelajari membuat yee sang daripada cef lain, selain gemar dengan makanan tradisional,” katanya ketika ditemui FMT.

Hazwan berkata penyediaan bahan-bahan yee sang perlu teliti dan dipotong halus bagi mencapai “keseimbangan” dalam setiap hidangan.

Beliau yang mempunyai 9 tahun pengalaman dalam bidang masakan berkata setiap hidangan yee sang untuk 150 orang mengambil masa 2 hingga 3 jam untuk menyiapkannya.

Cef James menunjukkan pembikinan yee sang.

“Bagi memastikan hidangan itu sedap, setiap bahan mestilah segar dan bersih bagi memastikan kelazatannya dan tahan lama.

“Ini kerana kebersihan amat utama dalam membuat yee sang kerana setiap bahan itu ada maksudnya tersendiri,” kata anak kelahiran Gombak Setia, Selangor ini.

Hazwan berkata setiap ramuan ada makna tersendiri. Contohnya, ikan bermakna kekayaan berkekalan, lobak untuk tuah dan limau bali untuk kekayaan. Yee sang selalunya dimakan beramai-ramai untuk ucapkan kemakmuran bersama.

Hazwan menggalakkan untuk mempelajari membuat yee sang dan mempelajari keunikan makanan itu.

Sementara itu, James Ho, 40, pula setiap tahun akan menampilkan kelainan dalam masakan yee sang.

Cef James berkata yee sang istimewa yang pernah dimasaknya ada sehingga mencecah RM16,000.

Cef di sebuah restoren di Bangsar ini berkata yee sang yang istimewa pernah dimasaknya ada sehingga mencecah RM16,000.

“Ini kerana bahan-bahan yang digunakan semua daripada luar negara dan disebabkan itu yee sang yang dihasilkan eksklusif,” katanya.

Anak kelahiran Negeri Sembilan ini berkata, walaupun kebanyakan restoran menghidangkan yee sang moden, beliau juga mahir dalam masakan yee sang traditional.

Katanya, yee sang traditional menggunakan bahan-bahan yang manis dan lebih banyak penggunaan warna.

“Warna pula ada hijau, kuning dan merah manakala yee sang moden pula warnanya lebih ‘natural’ dan bahan yang digunakan lebih banyak bahan yang segar,” katanya.

James menjelaskan masyarakat Cina percaya seseorang akan diberkati dengan kesejahteraan serta dipanjangkan umur dengan menghidangkan yee sang ketika Tahun Baru Cina.

Katanya, jika dulu yee sang hanya dihidangkan semasa Tahun Baru Cina, namun seiring dengan trend semasa dan peredaran masa, yee sang mula dijual di restoran Cina, hotel dan gedung membeli-belah kira-kira sebulan sebelum tibanya hari perayaan.

“Yee sang selalunya dimakan beramai-ramai untuk ucapkan kemakmuran. Hidangan yang ada pelbagai ramuan dan perasa ini, menariknya, hanya popular di Malaysia dan Singapura,” katanya.