Pada hari pertama Tahun Baru Cina hingga hari ke-15 iaitu Chap Goh Mei, Janie Tan Poo Choo sekeluarga akan cuba menghindari diri daripada memakan daging kerana tidak mahu melakukan dosa membunuh binatang.

Keluarganya mempraktikkan menjamu makanan berteraskan sayur-sayuran dan kacang soya kerana mempercayai amalan itu akan memastikan mereka sihat dan akan melanjutkan usia.

Pada hari itu juga seisi keluarga Janie menziarahi datuk dan nenek serta saudara-mara yang paling senior dalam salasilah keluarga sebagai penghormatan kepada warga emas.

Mendiang ayah dan ibu Janie amat menitikberatkan etika dan peradaban hormat menghormati warga yang lebih tua daripada kita mengikut protokol keluarga. Selain daripada itu, mereka juga dilarang oleh mendiang ayah dan ibu kami dari mengeluarkan kata-kata kesat, memaki atau mencarut sepanjang Tahun Baru Cina.

Rumah Terbuka

“Pada hari Tahun Baru Cina yang kedua mendiang ayah dan ibu akan mengadakan Majlis Rumah Terbuka di mana mendiang akan menempah katerer Melayu untuk datang ke rumah untuk menyediakan masakan halal. Jamuan ini untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama termasuk orang yang tidak dikenali untuk beraya bersama-sama,” kata Janie yang bekerja sebagai penjawat awam.

Majlis Rumah Terbuka seperti itu, katanya diadakan setiap tahun, ia bukan sahaja satu majlis yang menyemai semangat muhibbah malahan ia dapat menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

Pada Majlis Rumah Terbuka tersebut juga, mendiang ayah dan mendiang ibu Janie akan mengundang tarian naga untuk membuat persembahan di rumah untuk menghalau entiti jahat dan musibah keluar dari kawasan rumah. Jemputan ini ditempah 3 bulan sebelum kedatangan Tahun Baru Cina.

“Tarian naga yang berhias merah, kuning dan emas diiringi pukulan gendang kuat dipercayai akan membawa kebahagian, kesejahteraan, tuah dan memberkati sesiapa sahaja yang berada di kawasan rumah tersebut,” jelas wanita muda itu.

Seterusnya mendiang ayah dan mendiang ibu Janie juga akan mengedarkan ang bao, buah-buahan seperti limau Mandarin (yang bererti emas) dan buah epal merah (yang bermaksud selamat dan aman damai) kepada para tetamu dan sesiapa sahaja yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka.

Boleh dikatakan bahawa hampir setiap hari dalam Tahun Baru mempunyai maksud yang tersendiri dalam masyarakat Cina. Misalnya hari tahun baru yang ke-7 merupakan hari jadi kepada semua masyarakat Cina.

Memandangkan buyut Janie berketurunan Fuzhou, di Timur Fujian mereka sekeluarga akan meraikan Perayaan Hari Tahun Baru Cina yang ke-9 iaitu hari jadi Maharaja Jed secara besar-besaran untuk memohon berkat dan restu daripada Maharaja Jed supaya segalanya berjalan dengan lancar dan teratur.

Pada hari tersebut Janie sekeluarga akan menghindarkan diri dari memakan daging kerana dipercayai amalan ini akan memastikan mereka sihat dan melanjutkan usia. Sepasang tebu akan diikat di kiri dan kanan meja. Begitu juga dengan 2 pasu pokok limau mandarin dan 2 pasu bunga kekwa kuning akan digunakan untuk menghiasi meja tersebut selain daripada pelbagai jenis sayur, buah, taufu dan kekacang untuk dihidang di atas meja yang dihiasi dengan kain merah. Perayaan ini diraikan dengan penuh meriah ketika kedua orang tua Janie masih ada.

Kian dilupakan

“Dewasa ini mengikut peredaran zaman dan masa, tidak dapat disangkal bahawa terdapat banyak tradisi dan adat yang kian dilupakan dan ada yang hilang terus ketika meraikan perayaan Tahun Baru Cina. Kini, walaupun saya telah mendirikan rumah tangga, perayaan yang diraikan bersama suami tidak lagi sama seperti zaman dahulu ketika ayah dan ibu masih ada,” kenang Janie.

Kini Janie meraikannya secara kecil-kecilan dan tidak semeriah seperti zaman kanak-kanak dan dewasa dahulu. Selain itu, faktor lain seperti larangan pembakaran mercun menyebabkan perayaan ini lebih sunyi dan sepi.

Kesimpulannya, pengalaman menyambut Tahun Baru Cina kini dan dahulu amat jauh bezanya. Pada zaman moden sekarang banyak amalan tradisi lama mungkin telah dilupakan dan tidak lagi diikuti 100% oleh masyarakat Cina moden.

Sungguhpun banyak tradisi telah diringkaskan mengikut peredaran zaman, namun kepercayaan asas masih lagi menjadi ikutan Janie dan ia membuatkan sambutan Tahun Baru Cina lebih bermakna kerana pengalaman menyambut Tahun Baru Cina yang Janie lalui sewaktu zaman kanak-kanak dan zaman dewasa bersama-sama seisi keluarga adalah amat berharga. Ia akan menjadi mutiara yang tidak ternilai harganya dalam hidup Janie.

Hakikatnya, Janie amat gembira mendiang ayah dan ibunya meninggalkan amalan dan budaya hidup bermuafakat dan adat resam yang amat tinggi nilainya kepada dirinya dan semua abangnya. Janie juga akui berbangga rakyat negara kita hidup mengamalkan budaya dan semangat kekitaan yang tinggi.

Apabila menjelang musim perayaan, semua pasti akan menyambutnya tanpa mengira kaum dan budaya kerana semangat perpaduan sekian lama wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia sejak zaman berzaman.

Walaupun seseorang itu menganut agama Buddha dan mengamalkan kebudayaan, kehidupan dan kepercayaan yang berbeza, tetapi masih ada sikap toleransi yang tinggi dan semangat hidup yang muhibah di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Budaya kekitaan dan semangat kekitaan adalah sesuatu yang harus kita banggakan kerana ianya telah dipraktikkan sejak turun temurun.

Harus bangga

Meskipun perayaan ini diraikan secara besar-besaran di negara Tanah Besar China, Singapura, Taiwan dan di seluruh pelosok dunia yang mempunyai kaum keturunan Tanah Besar China, namun begitu Janie percaya cara menyambutnya tidak serupa dengan perayaan yang terdapat di Malaysia.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga kerana negara kita mempunyai pelbagai perayaan yang dapat menarik pelancong tempatan dan luar negara untuk datang melancong ke Malaysia. Bukan sahaja mereka dapat menyaksikannya kepelbagaian budaya kita, malahan juga sekaligus dapat mempromosikan negara kita ke persada dunia melalui perayaan berbilang kaum yang hanya boleh ditemui di Malaysia. Inilah keunikan bangsa Malaysia berbanding dengan negara lain yang saling menerima dan menghormati perbezaan kebudayaan kaum masing-masing,” katanya.

“Ayuh rakyat Malaysia, sama-samalah kita menyelami sikap toleransi, keharmonian dan kedamaian yang dikecapi oleh rakyat Malaysia sejak zaman nenek moyang kita lagi dengan menghidupkan semula aktiviti kunjung-mengunjungi antara satu sama lain pada Tahun Baru Cina yang akan menjelang tidak lama lagi,” tambah Janie lagi.

Sempena era Malaysia Baharu, katanya, rakyat Malaysia perlu membuktikan perbezaan anutan agama dan warna kulit bukan faktor yang menghalang perpaduan masyarakat sebaliknya ia adalah elemen yang mendorong penyatuan dan pembentukan kehidupan harmoni rakyat Malaysia yang sehati sejiwa. Dia mahu buktikan kepada dunia bahawa kepelbagaian adalah satu bentuk kekuatan yang ada pada negara kita.

“Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina atau San Nin Fai Lok dalam bahasa Kantonis kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyambutnya,” kata Janie.

(Janie Tan Poo Choo, seorang penjawat awam dan berminat dalam bidang penulisan berkongsi pandangan serta pengalaman menyambut hari besar untuk masyarakat Cina di Malaysia. Ini merupakan bahagian akhir daripada dua bahagian. Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis)

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]