JKM turun malam ini periksa pelancong Rusia lambung bayi

PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan akan membuat rondaan dan pemantauan pada petang dan malam ini selepas insiden pelancong Rusia melambung bayi dalam satu persembahan jalanan di Bukit Bintang.

Seorang kakitangan Unit Perhubungan Pelanggan JKM Wilayah Persekutuan yang enggan dinamakan berkata, penguatkuasa akan turun padang dan memeriksa kejadian yang tular di media sosial itu.

“Kalau betul kes itu disebabkan faktor mengemis kita akan selamatkan kanak-kanak itu dan ambil tindakan individu itu.

“Tetapi ia akan melibatkan imgresen sebab pelancong asing. Negara kita juga tidak benarkan aktiviti mengemis,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Semalam, media melaporkan satu video yang menunjukkan seorang bayi dilambung dengan kedua-dua kakinya dipegang dalam satu persembahan jalanan di Kuala Lumpur.

Video 90 saat itu memaparkan imej seorang lelaki berseluar pendek dan berbaju putih menghayun seorang bayi di atas kepalanya. Manakala, di bahagian tepi, duduk seorang wanita berambut perang.

Pasangan suami-isteri yang melakukan aksi melambung bayi di Changkat, Bukit Bintang, dekat sini, bagaimanapun berkata, aktiviti itu hanyalah satu senaman untuk bayi mereka.

Ketika dihubungi FMT, pelancong Rusia terbabit yang mahu dikenali sebagai Mikhail berkata, mereka tidak tahu perbuatan itu membangkitkan kemarahan orang ramai.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh mengesahkan JKM akan turun padang hari ini untuk melakukan pemeriksaan.

Dalam pada itu, Kaunselor Persatuan Kebajikan Suriana, Noor Hana Azwany Noor Rosly berkata, JKM seharusnya bertindak terhadap kejadian tersebut.

Menurut Noor Hana, perbuatan melambung bayi boleh menjadi kes penderaan kanak-kanak kerana ia akan mengakibatkan kesan teruk kepada bayi.

“Ada kesan teruk akan terjadi kepada bayi itu dari segi otaknya. Kalau dia lambung, otak bayi akan bergegar dan mengakibatkan perkembangan bayi itu lambat.

“Semua jadi lambat seperti percakapan dan pergerakannya disebabkan perbuatan melambung,” katanya.

Selain daripada itu akan berlaku pendarahan dalam otak sekiranya melambung bayi dibuat secara kerap, katanya.