Seorang pengamal kesihatan dari Amerika Syarikat, Anthony William baru-baru ini mendedahkan bagaimana jus daun saderi dapat merungkai pelbagai masalah kesihatan.
Dia yang mendakwa jus saderi sebagai ubat penawar pelbagai masalah kesihatan turut memuatkan ‘cabaran minum jus saderi setiap hari’ menerusi akaun Instagram miliknya.
William yang menggelarkan dirinya sebagai “Originator of Global Celery Juice Movement” berkata, kandungan natrium dalam saderi membantu memecahkan patogen yang mencetuskan penyakit kronik dalam badan sekaligus meneutralkan racun.
Walaupun dakwaannya kelihatan agak melampau, tetapi dengan minum jus tersebut secara konsisten, Willian akui keadaan kesihatannya bertambah baik.
“Ia membantu mengatasi masalah kesihatan berkaitan pencernaan, kulit, migrain, lemah tenaga, penyakit autoimun dan ratusan penyakit lain,” petik Willian dalam portal Metro.
William turut menyarankan orang ramai minum 400 mililiter jus saderi setiap hari dalam perut kosong dan berehat 30 minit sebelum makan makanan lain.
Menurut laporan Foodmatters, di bawah disenaraikan manfaat jus saderi kepada kesihatan.
Baik untuk kesihatan usus
Serat dalam saderi berfungsi sebagai julap semula jadi yang mengoptimumkan fungsi pencernaan. Komponen ini menenangkan saraf yang rosak akibat gaya hidup yang tidak sihat dan pilihan makanan yang tidak sesuai. Dalam erti kata lain, jus saderi boleh mencegah dan merawat sembelit.
Kawalan tekanan darah
Jus saderi membantu mengawal tekanan darah. Kandungan 3-n-buthylphthalide menghalang rembesan hormon tekanan dan melegakan otot-otot di sekitar saluran darah. Darah boleh mengalir dengan lancar tanpa menyebabkan tekanan.
Jika diambil secara kerap, jus saderi membantu membersihkan buah pinggang. Kandungan natrium dan kalium saderi menggalakkan penghasilan air kencing yang membuang racun badan.
Anti-radang
Jangkitan dalam tubuh badan timbul akibat keradangan. Tubuh memerlukan nutrien anti-radang. Saderi mengandungi komponen polyacetylene yang menghalang keradangan akut tulang seperti osteoarthritis (keadaan sendi yang kaku dan bengkak), gout (kesakitan sendi), sakit sendi dan gangguan pernafasan seperti bronkitis dan asma.
Penghidratan kulit
Saderi yang berbatang besar dan tebal mengandungi kandungan air yang tinggi iaitu sehingga 95%. Pengambilan jus saderi boleh menghidratkan badan termasuk kulit. Sel kulit yang hidrasi menjadikan kulit lembut dan licin. Kulit lembap juga akan mengelak kita dari tanda penuaan termasuk kedutan dan garis halus.
Apa tunggu lagi, jom mulakan cabaran minum jus saderi setiap hari!
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]