Kedai jual rempah dihias menarik sempena Tahun Baru Cina

Mohd Jaya di kedainya di Jalan Datuk Ajibah Abol, Kuching.

KUCHING: Siapa sangka kedai menjual rempah dan kuih tradisional pun boleh dihias dengan cukup menarik sempena Tahun Baru Cina? Tetapi itulah hakikatnya.

Dari jauh kedai “Abdul Wahet” nampak seperti kedai Cina lain yang menjual barang-barang untuk Tahun Baru Cina.

Kedai itu, yang terletak bersebelahan masjid di Jalan Datuk Ajibah Abol, dihiasi dengan lampu terang benderang dan penuh diikat reben – tanda rezeki bagi kaum Cina – mercun tiruan, bunga plastik dan pokok Tahun Baru Cina.

Pemiliknya, Mohd Jaya Idris, yang keturunan campuran Melayu dan India memberitahu, ramai yang menyangka kedainya itu sebuah kedai Cina.

“Mungkin kerana mereka lihat banyak benda yang menyerupai hiasan Tahun Baru Cina,” katanya.

Mohd Jaya yang mewarisi perniagaan itu daripada datuknya berkata, dia akan menghiasi kedainya mengikut musim perayaan pelbagai kaum dan agama yang disambut di Sarawak, termasuk Aidilfitri, Krismas dan Gawai.
.
“Tahun ini jarak antara Aidilfitri dan Gawai agak rapat, jadi saya rancang menghiasi kedai saya supaya sesuai dengan dua-dua perayaan tersebut,” katanya.

Dia mencipta hiasan itu mengikut apa-apa yang dilihatnya di kompleks beli-belah.

“Keluarga saya menyambut Aidifitri, tapi saya hias kedai sempena semua perayaan. Saya ingin menunjukkan sokongan kepada perayaan pelbagai kaum,” katanya.

Bercakap kepada FMT, Mohd Jaya, 43, memberitahu, datuknya memulakan perniagaan tersebut 50 tahun lalu.

Pada mulanya, kedai itu hanya mengeluarkan rempah ratus dan menjual barang runcit, tetapi beliau mengembangkannya dengan menjual kuih tradisional, termasuk kuih lapis Sarawak sejak 80-an.

Selain itu kata beliau, keluarganya juga membuat perniagaan katering.

“Bapa saudara saya buat katering. Kami terima banyak tempahan nasi briyani, kari ayam dan kambing serta rendang pada musim Tahun Baru Cina.

“Biasalah musim raya, macam-macam jenis juadah dihidangkan untuk tetamu berbagai bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata, jualan mereka sangat laris pada musim-musim perayaan memandangkan ramai yang menempah kuih tradisional, termasuk dari Semenanjung.