Lelaki Rusia ‘lambung bayi’: Polis gesa orang ramai buat laporan

Semalam tular satu petikan video yang menunjukkan seorang bayi dilambung dalam satu ‘persembahan jalanan’ di Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis menggesa orang ramai membuat laporan selepas tular video lelaki Rusia “melambung” seorang bayi tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mana-mana pihak yang bertanggungjawab perlu tampil untuk mengesahkan kejadian itu.

“Buat masa ini tidak ada pihak buat laporan. Kita kena dapatkan kesahihan. Kena ada pihak tampil ke depan, kata benda itu berlaku.

“Kadang-kadang mereka tunjuk kat luar negara, tetapi kata berlaku di sini,” katanya kepada FMT.

Semalam, media melaporkan video yang menunjukkan seorang bayi berusia 6 bulan dilambung dengan kedua-dua kakinya dipegang dalam satu persembahan jalanan di Kuala Lumpur.

Video tersebut mencetuskan pelbagai reaksi netizen, termasuk kemarahan ramai yang menyifatkan perbuatan itu membahayakan bayi terbabit.

Video berdurasi kira-kira 90 saat itu memaparkan imej seorang lelaki berseluar pendek dan berbaju putih menghayun seorang bayi di atas kepalanya. Manakala, di bahagian tepi, duduk seorang wanita berambut perang.

Pasangan suami-isteri yang melakukan aksi melambung bayi di Changkat, Bukit Bintang, dekat sini, bagaimanapun berkata, aktiviti itu hanyalah satu senaman untuk bayi mereka.

Pelancong dari Rusia terbabit yang mahu dikenali sebagai Mikhail ketika dihubungi FMT berkata, mereka tidak tahu perbuatan itu telah membangkitkan kemarahan pengguna di media sosial.

Beliau beberapa kali memohon maaf semasa dihubungi. dengan berkata keadaan itu berlaku secara tidak dirancang.

“Anak kami sukakan senaman itu. Dia meminta gerakan (senaman) selepas bangun tidur. Tidak semena-mena, orang berkumpul dan menjadikannya seperti satu persembahan,” katanya.

Mikhail berkata, mereka sekeluarga berada di Malaysia atas visa pelancong selama 1 bulan dan merancang untuk berada di negara ini sehingga visa itu tamat. Mereka kini menginap di sebuah hotel berhampiran.

Dalam pada itu, ketika dihubungi, pegawai media kedutaan Rusia di ibu negara berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian berkenaan dan sedang menghubungi keluarga terbabit.

“Kami fikir tidak wajar menarik perhatian khalayak atau berkelakuan seperti ini, iaitu melambung bayi.”

“Kami sedang menghubungi keluarga itu bagi mendapatkan maklumat lanjut,” kata beliau.