Nak berjaya tak mesti perlu bantuan kerajaan, kata usahawan Bumiputera

Khairul Farid Mazlan berjaya dalam sektor F&B tanpa bantuan kerajaan.

PETALING JAYA: Seorang usahawan Bumiputera berkata walaupun tidak mendapat sebarang bantuan daripada kerajaan, namun beliau masih mampu menjadi usahawan Bumiputera yang berjaya.

Khairul Farid Mazlan, 33, yang terlibat dalam sektor makanan dan minuman (F&B) berkata, selagi beliau boleh berusaha sendiri dan bermula dari apa yang ada, ia memberi kepuasan kepadanya.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Batu Pahat, Johor, mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sejak dari sekolah menengah lagi.

Walaupun tidak mempunyai pendidikan yang tinggi, beliau kini mempunyai 3 cawangan kedai makanan Barat, di samping kedai buah-buahan dan perniagaan ternakan.

“Dari kerajaan dulu sampai sekarang saya tidak pernah minta bantuan walaupun tahu ada bantuan yang disediakan untuk usahawan Bumiputera.

“Bagi saya, lebih baiklah bantuan itu diberikan kepada usahawan lain yang memerlukan. Selagi boleh, hidup jatuh bangun, saya akan terus berusaha,” katanya.

Kedai buah potong Fun Fruit yang diusahakan oleh Zuhairi.

Farid juga berkata, kunci untuk menjadi usahawan berjaya ialah ‘kerja keras’ dan kreativiti untuk memajukan perniagaan.

Selain itu katanya, jika mahu diikutkan keadaan ekonomi semasa, memang beliau tidak akan berjaya, dengan menambah bahawa pengalaman di lapangan adalah lebih bermakna daripada menghabiskan wang untuk belajar, tetapi tidak berada di lapangan perniagaan sebenar.

Farid juga tidak menolak kenyataan bahawa seseorang usahawan akan berhadapan dengan banyak cabaran, namun untuk berjaya mereka perlu terus berusaha dan bersikap konsisten dalam memajukan perniagaan masing-masing.

Seorang lagi usahawan F&B, Zulhairi Ibrahim berkata, walaupun mempunyai ijazah, tetapi beliau bertekad untuk menjadi seorang usahawan buah-buahan.

Zulhairi, yang merupakan graduan Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, kini beliau memiliki 6 kedai buah dan produk asam buah buatan sendiri.

Menceritakan pengalamannya mula berniaga, Zulhairi berkata, beliau pernah gagal berniaga jeruk selepas tamat pengajian sebelum ini.

“Saya jual buah-buahan jeruk, tetapi tak berjaya kerana orang tidak makan jeruk setiap hari,” katanya.

“Jadi saya beralih menjual buah potong dengan menyediakan 7 jenis asam buah buatan sendiri. Kelainan ini menarik pelanggan ke kedai saya,” kata pemilik kedai buah Fun Fruit itu.

Zulhairi yang juga berasal dari Batu Pahat berkata, beliau
bersama Farid pernah menyertai rombongan ke England melalui penyertaannya dalam Muslim World Fest dengan menjual buah-buahan potong.

Beliau berkata, semua kos ke sana ditangung oleh mereka sendiri dan sepanjang festival itu gerai jualannya mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

“Paling unik orang di sana tertarik dengan jenis buah-buahan yang kami jual. Jika ada rezeki, kami mahu ke sana lagi bagi memperkenalkan produk kami,” katanya.