Pakar berbeza pendapat mengenai bayaran dividen khas Petronas

Kerajaan menerima dividen sebanyak RM26 bilion daripada Petronas pada 2018 dan bercadang mengambil sebanyak RM54 bilion pada 2019.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menggesa kerajaan menyemak semula bayaran dividen khas daripada Petronas dengan berkata, ia boleh memberi kesan ke atas program perbelanjaan modal firma kerajaan itu.

Yeah Kim Leng, seorang profesor ekonomi di Universiti Sunway, mencadangkan supaya kerajaan menimbangkan sumber hasil lain seperti pencairan aset, bukannya rizab Petronas, yang mungkin terkesan akibat harga minyak yang rendah.

“Jika Petronas tidak dapat menjalankan program perbelanjaan modalnya, ia akan mengundang penarafan negatif daripada agensi penarafan kredit antarabangsa,” tambah beliau.

Bagaimanapun Phua Lee Kerk, ketua startegi di firma pengurusan pelaburan Philip Mutual, berbeza pandangan dengan berkata, kerajaan perlu meneruskan bayaran dividen khas itu.

Pada masa ini katanya, keadaan kewangan kerajaan tidak kukuh serta kekurangan ruang untuk mendapatkan sumber hasil tambahan.

“Bayaran dividen RM30 bilion itu patut diteruskan tahun ini dan disemak semula tahun depan apabila kewangan kerajaan lebih stabil,” katanya kepada FMT.

Isu ini berbangkit selepas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata semalam bahawa beliau meninggalkan rizab tunai yang besar di Petronas sewaktu Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada Mei tahun lepas.

Najib, yang juga merupakan menteri kewangan ketika itu, mengingatkan kerajaan supaya tidak meneruskan rancangan bayaran dividen khas sebanyak RM30 bilion itu kerana ia akan memberi kesan ke atas program perbelanjaan modal Petronas.

Beliau mendakwa rizab Petronas bertambah sehingga RM180 bilion pada Jun 2018, berbanding RM128.2 bilion pada penghujung 2017.

Pertambahan itu umumnya disebabkan harga minyak mentah yang lebih tinggi pada waktu itu dan bayaran daripada Saudi Aramco bagi projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang, Johor.

Kerajaan menerima dividen sebanyak RM26 bilion daripada Petronas pada 2018 dan bercadang mengambil sebanyak RM54 bilion pada 2019. Ini termasuklah dividen khas RM30 bilion yang akan digunakan oleh kerajaan bagi melunaskan bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan.

Minyak Brent kini diniagakan pada harga AS$62 satu tong. Pada suku ketiga 2018, Moody’s menurunkan penarafan Petronas berikutan kebimbangan mengenai kemampuan firma itu melaksanakan program perbelanjaan modalnya memandangkan bayaran dividen khas yang besar yang perlu diberikan kepada kerajaan.

Pada 2 Nov tahun lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Petronas mampu menyumbang dividen khas itu kepada kerajaan persekutuan pada 2019 berikutan harga minyak yang tinggi pada masa itu.