Pasangan Rusia lambung bayi ditangkap polis

PETALING JAYA: Pasangan warga Rusia yang didakwa membahayakan bayi mereka dalam satu pertunjukan jalanan sudah ditangkap polis hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata mereka ditangkap pada 2.30 petang tadi dan sekarang sedang disoal di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Tangkapan tersebut menyusuli laporan orang ramai. Bayi itu bersama ibu bapanya.

“Siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak,” katanya.

Mazlan berkata polis akan menghubungi kedutaan Rusia untuk mendapatkan penjelasan sebelum pasangan berusia 28 dan 27 tahun itu ditahan.

Semalam, media melaporkan video yang menunjukkan seorang bayi berusia 6 bulan dilambung dengan kedua-dua kakinya dipegang dalam satu persembahan jalanan di Kuala Lumpur.

Video tersebut mencetuskan pelbagai reaksi netizen, termasuk kemarahan ramai yang menyifatkan perbuatan itu membahayakan bayi terbabit.

Pasangan suami-isteri yang melakukan aksi melambung bayi di Changkat, Bukit Bintang, dekat sini, bagaimanapun berkata, aktiviti itu hanyalah satu senaman untuk bayi mereka.

Kedutaan Rusia juga mengkritik pasangan itu.