Penganut kuil rayu sertai inkues Adib

Inkues minggu depan tumpu kematian anggota bomba yang didakwa diserang di luar Kuil Sri Maha Mariamman tahun lepas.
SHAH ALAM: Sekumpulan individu yang membantah pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya merayu terhadap keputusan Mahkamah Koroner menghalang mereka menyertai inkues berkaitan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Peguam M Visvanathan, yang mewakili pasukan petugas kuil tersebut hari ini memfailkan surat mahkamah beserta sijik perakuan segera, tetapi tidak mendapat pendengaran hari ini kerana kakitangan mahkamah bercuti Tahun Baru Cina.
“Kami harap kaji semula boleh didengar pada Khamis atau Jumaat sebelum inkues bermula hari Isnin ini,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, salinan permohonan kaji semula anak guamnya difakskan ke pejabat timbalan pendakwaraya.
Pasukan petugas tersebut berkata, inkues ke atas kematian Adib tidak boleh mengecualikan mereka.
Katanya, gambaran umum adalah mereka enggan tinggalkan tempat itu dan pemaju, One City Development, menggunakan samseng untuk mengeluarkan mereka secara paksa.
“Pasukan petugas kuil mesti dijadikan pihak berkepentingan memandangkan koroner juga perlu memutuskan siapa yang  mencetuskan rusuhan dan sama ada anggota bomba tersebut dipukul,” katanya.
November lalu, beberapa kenderaan dibakar apabila berlaku tunjuk perasaan berikutan serangan ke atas kuil berkenaan oleh lelaki-lelaki yang tidak dikenali.
Adib antara anggota bomba yang bergegas ke kawasan tersebut untuk memadamkan api. Adib didakwa dipukul ketika kekecohan tersebut dan meninggal dunia 3 minggu kemudian.
Visvanathan berkata, pasukan petugas tersebut mesti dibenarkan memeriksa saksi dan dibekalkan dengan dokumen berkaitan inkues berkenaan.
Minggu lepas, Koroner Rofiah Mohamad memutuskan pasukan petugas tersebut bersama penganut kuil tidak akan dibenarkan menyertai inkues berkenaan.
Menurutnya, tiada asas yang substantif, tulen dan munasabah untuk menjadikan mereka pihak berkepentingan.
“Inkues ini bukan mengenai mengenal pasti liabiliti jenayah, tetapi membantu mahkamah dari segi punca kematian,” katanya.
Peguam Siti Kasim mewakili penganut-penganut.
Inkues dijadualkan dari 11 hingga 28 Februari, 1 hingga 5 Mac, 19 ke 29 Mac dan 1 hingga 12 April, dengan 30 saksi dijangka memberi keterangan.