Penyelesaian dengan Rewcastle-Brown tidak ubah persepsi umum terhadap PAS, kata peguam

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang setuju selesai saman fitnah terhadap editor Sarawak Report di luar mahkamah (gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penyelesaian di luar mahkamah antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown tidak akan mengubah persepsi umum terhadap pemimpin-pemimpin parti tersebut.

Peguam SN Nair berkata, tuduhan bahawa pemimpin-pemimpin PAS mengambil wang untuk sokong Umno dan Barisan Nasional (BN) akan kekal dalam ingatan masyarakat walaupun saman fitnah itu ditarik balik.

“Penyelesaian tersebut tidak menafikan tuduhan asal pihak pembela (Rewcastle-Brown),” katanya.

Beliau berpendapat, Hadi sepatutnya meneruskan proses samannya sehingga beliau menerima deklarasi daripada mahkamah.

“Seorang plaintif atau orang yang memfailkan rayuan, memfailkan saman fitnah untuk membuktikan kebenaran dirinya bagi mendapat ganti rugi atas kerugian terhadap reputasinya,” katanya.

Sebagai alternatif, katanya, seseorang plaintif akan menuntut permohonan maaf dengan kos atau tanpa kos dan menawarkan untuk menarik balik kes.

Di bawah penyelesaian mereka, katanya, Hadi, bagaimanapun, bersetuju tidak akan mendedahkan terma penyelesaian dengan Rewcastle-Brown.

Keputusan tersebut, katanya, berdasarkan nasihat daripada pasukan peguam Hadi yang meneliti seluruh tindakan mahkamah.

Hadi memfaikan saman tersebut di Mahkamah Tinggi London berikutan artikel Rewcastle-Brown, yang diterbitkan dalam Sarawak Report pada 6 Ogos, 2017.

Artikel itu mendakwa RM90 juta “dipercayai” didepositkan ke akaun bank pemimpin-pemimpin PAS atas sokongan mereka kepada Umno dan BN.

Dalam pembelaannya April lalu, Rewcastle-Brown berkata, pemimpin-pemimpin PAS tersebut tidak disebut dalam mana-mana kenyataan dalam artikel berkenaan.

Dalam tuntutan balasnya pada 11 Oktober, beliau mendakwa Hadi berkomplot dengan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, atau ejen beliau untuk memburukkannya dan portalnya.

Rewcastle-Brown juga mendakwa Hadi sendiri atau melalui ejennya merupakan pihak yang menerbitkan beberapa artikel yang memfitnah dan mengganggu beliau dalam portal.

Walaupun kes itu diselesaikan di luar mahkamah, artikel Rewcastle-Brown tetap berada dalam talian dan tiada pengubahan dibuat.

Menurut Nair, dalam sesuatu saman fitnah, plaintiflah yang menghadapi perbicaraan dan oleh itu patut menimbangkan sama ada mahu membawa kes ke mahkamah atau tidak.

“Apabila difailkan, plaintif perlu berusaha habis-habisan membersihkan namanya dan mendapatkan hasil yang dikehendali,” katanya.

Peguam Ang Hean Leng memberitahu, dengan tindakan Hadi, “status quo” (kedudukan asal) kekal dan tidak berubah.

Beliau berpendapat, tindakan Hadi nampak seperti tidak dirancang dengan betul.

“Ia menguatkan persepsi bahawa tindakan undang-undang tersebut ‘ill conceived’ (tidak dirancang dengan baik),” katanya.