Perjelaskan kata-kata yang dianggap hina raja, kata penganalisis

Prof Nik Ahmad Kamal berkata Akta Hasutan dilihat tidak cukup menangani isu hina institusi raja untuk jangka panjang. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Undang-undang khusus dalam menangani sebarang penghinaan terhadap institusi raja perlu memperjelaskan maksud kata-kata yang menghina, kata Prof Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Penganalisis politik dan pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) berkata, Akta Hasutan digunakan untuk menahan pesalah tetapi dilihat tidak cukup menangani isu tersebut untuk jangka panjang.

“Memang selama ini undang-undang yang kerajaan guna adalah Akta Hasutan namun memerlukan beban bukti yang kukuh seperti kata-kata yang mempunyai kecenderungan untuk menghasut. Itu standard yang perlu dibuktikan.

“Sebab itu undang-undang baru diperlukan bagi memperjelaskan maksud menghina. Adakah kata-kata itu menghina atau tidak. Jadi mudah untuk pendakwa raya dan orang ramai lebih jelas terhadap kata-kata penghinaan,” katanya kepada FMT.

Namun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, kalau seseorang itu bercakap dengan fakta, dia tidak boleh dihukum atas kesalahan menghina.

Sebab itu, pengecualian perlu dibuat dalam undang-undang baru untuk melindungi institusi raja.

“Jika Akta Hasutan ada pengecualian, akta baru pun perlu ada pengecualian bagi tujuan membetulkan keadaan dan cadangan menambahbaik keadaan iaitu cadangan membina,” kata Nik Ahmad.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini berkata, Malaysia perlu memperkenalkan undang-undang lese majeste dan wajar dibincangkan secara serius bagi memelihara kemuliaan institusi diraja berikutan perbuatan menghina raja yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Namun, Nik Ahmad menganggap konsep lese majeste mungkin perlu diubah bersesuaian dengan institusi raja di negara ini.

“Lese majeste boleh dibuat tapi adakah ia benar-benar diperlukan, kerana kedudukan raja kita bukan seperti di Thailand.

“Bagaimanapun, undang-undang baru dengan hukuman lebih berat memang diperlukan. Kita perlu melindungi kesucian institusi raja,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, beberapa individu ditahan bawah Akta Hasutan kerana menghina institusi raja dan yang terbaru seorang pengguna Facebook ditahan polis selepas didapati memuat naik komen berbaur hinaan terhadap Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.