Perkembangan positif di Mindanao baik untuk Sabah, kata Anifah

Kestabilan di selatan Filipina akan membuka pintu berkaitan ekonomi dan peluang pekerjaan.

KOTA KINABALU: Bekas menteri luar, Datuk Seri Anifah Aman mengalu-alukan berita mengenai referndum bersejarah di Mindanao di selatan Filipina dengan berkata, keamanan dan kestabilan di rantau itu adalah baik untuk Sabah.

Beliau memberitahu FMT, perkara itu merupakan tajuk utama dalam perbincangan di peringkat serantau sewaktu beliau mengetuai Kementerian Luar Negeri dahulu.

“Inilah yang kita perjuangkan sebelum ini,” katanya, merujuk kepada pengundian bagi Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao (BARMM) yang penduduknya beragama Islam.

“Isu ini dekat dengan hati saya. Jika Mindanao aman, maka tidak ramai orang dari wilayah itu akan datang ke Sabah.”

Beliau berkata, kestabilan di wilayah itu akan menggalakkan pelabur dari Malaysia menimbangkan untuk memulakan perniagaan di Mindanao.

Bekas menteri luar, Anifah Aman.

“Sebagai rakyat Sabah, saya ada kepentingan dalam hal ini dan amat menyetujui perkembangan yang berlaku,” katanya.

Warga Filipina di Mindanao mengundi menyokong BARMM bulan lepas sekali gus mencerahkan harapan tercapainya keamanan di wilayah yang dilanda konflik paling buruk di Asia itu.

Anifah berkata, Malaysia mengepalai rundingan damai sebagai fasilitator pihak ketiga bagi proses damai di selatan Filipina sejak 2001.

Ayesah Uy Abubakar.

Ini membuka jalan kepada perjanjian mengenai Bangsamoro antara kerajaan Filipina dengan Gerakan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada 2014.

“Pada masa saya (sebagai menteri luar), kerjasama 3 pihak antara Malaysia, Filipina dan Indonesia juga menangani, antara lain, isu keselamatan,” kata Anifah.

“Dengan adanya autonomi sekarang, usaha itu boleh ditingkatkan. Kita tentulah tidak boleh berharap ia berlaku sekelip mata, namun niat untuk berubah itu ada dan ia baik untuk kita.”

Beliau berkata, kestabilan wilayah itu akan membuka pintu kepada banyak kemungkinan, terutamanya yang berkaitan dengan ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Sama seperti Indonesia sebelum ini bila mereka membuka tanah ladang yang luas. Pekerja Indonesia di Malaysia ramai yang balik dan mencari kerja di sana,” katanya.

Pensyarah kanan bidang perhubungan antarabangsa di Universiti Malaysia Sabah, Ayesah Uy Abubakar bersetuju BARMM akan memberi kesan positif kepada sabah, tetapi mengingatkan bahawa ia akan mengambil masa, mungkin sehingga 5 tahun.

“Akan wujud kestabilan di wilayah itu selepas pilihan raya 2022,” katanya. “Semua kerusi Parlimen akan dipertandingkan, bukan sahaja melibatkan MILF tetapi juga ahli politik semasa dan kumpulan lain.

“Seawal pertengahan Februari, saya fikir kita boleh melihat penubuhan Pihak Berkuasa Peralihan Bangsamoro (BTA) sebagai sebuah kerajaan sementara.”

Tidak dapat dipastikan sama ada BARMM boleh membantu menyekat aktiviti penculikan intas-sempadan dan lanun di Sabah, katanya.

“Jaminan itu belum ada, terutamanya berikutan kejadian pengeboman dan kegiatan kumpulan bukan-kerajaan di Sulu dan Zamboanga baru-baru ini.”

Bagaimanapun, secara keseluruhan beliau percaya isu keselamatan dan kestabilan Bangsamoro akan menjadi agenda utama BTA.

“Akan wujud lebih banyak kerjasama antara kerajaan pusat dengan kerajaan wilayah bagi memastikan wujudnya keselamatan dan ketenteraman di seluruh wilayah itu, termasuk sempadannya,” kata beliau.

Beliau bersetuju bahawa BARMM akan menambah peluang ekonomi, tetapi mengingatkan bahawa ia juga akan mengambil masa.