Tahun lalu, Datuk Bandar London, Saddiq Khan melarang mana-mana bentuk pengiklanan makanan ringan yang tidak berkhasiat dalam pengangkutan awamnya.

Hari ini, pakar kecergasan, Kevin Zahri pula memohon petisyen agar syarikat makanan segera tidak dibenarkan memanfaatkan kempen tanggungjawab sosial (CSR) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan jenama mereka kepada generasi pengguna baru iaitu murid sekolah.

Petisyen yang dikirim dalam Change.org oleh Kevin 2 hari lepas berjaya menerima lebih 16,000 sokongan dan jumlah tanda tangan terus meningkat dari masa ke masa.

Menurut Kevin dalam ruang komennya, petisyen yang sama telah disampaikan kepada media masa dan ia bersempena dengan kempen Jom Kurus yang dikendalikannya sepanjangg 12 minggu.

Menurut keterangan dalam petisyen di Change.org, Malaysia dikatakan berdepan masalah obesiti yang dipercayai bermula di sekolah.

“Namun syarikat makanan segera dibenarkan memanfaatkan kempen CSR dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dalam memperkenalkan jenama mereka kepada generasi pengguna baru. Eksploitasi pelajar ini perlu dihentikan. Sekolah adalah tempat membina kepercayaan dan eksploitasi oleh jenama makanan segera tidak harus berlaku,” petik katanya.

Dalam petisyen sama turut diketengah mengenai program capaian masyarakat, “Jom Kurus Sekolah – Bukan Mengenai Kurus” yang dianjurkan untuk memberi keutamaan kepada sekolah dan komuniti bagi mengelak obesiti dan ketidakaktifan di usia muda.

Menariknya petisyen tersebut menerima pelbagai respon serta komen yang menyatakan sokongan mereka terhadap saranan Kevin.

“Saya seorang dewasa obes dan kini saya sedar betapa sukar seseorang itu kembali dalam bentuk asal yang lebih fit. Saya mula menjadi obes sejak zaman kanak-kanak dan saya tidak mahu ia berlaku kepada kanak-kanak lain. Jadi saya sokong kempen larangan makanan segera di sekolah,” tulis Sayang Zuliza Zuikarnain dalam petisyen itu.

Manakala, Hafizatul Salma juga mahu menyokong kempen itu kerana katanya dia ambil berat mengenai kesejahteraan kanak-kanak dan tidak selesa dengan syarikat makanan segera yang mengambil peluang ke atas mereka.

“Saya tidak setuju makanan segera di sekolah. Bagaimanapun menu makanan yang disediakan di sekolah seperti mi goreng dan nasi lemak serta teh juga tidak sihat. Semua orang dewasa juga makan makanan yang sama dan berat badan mereka tidak pernah lebih sihat,” tulis Jeyanthini Sathasivam pula.

Kevin bukan sahaja menguar-uarkan kempen capaian masyarakat, Jom Kurus dalam petisyen tersebut sebaliknya turut menggunakan semua platform media seperti laman web miliknya, media sosial dan Youtube.

Dia juga berkongsi keratan sedutan temuramah rancangan Soal Rakyat: Negara Obes? di TV3 dalam muatnaik bersama petisyen itu yang menjelaskan tujuan serta hala tuju kempen tersebut kepada umum.

“Kami sedang mengusahakan petisyen dan bekerja dengan sekolah-sekolah untuk melindungi anak-anak sekolah daripada kempen pemasaran CSR berjenama makanan segera,” petik katanya.

Petisyen halang jenama makanan segera.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]