PH kini berada dalam rumah kaca

Mengurus politik rumah kaca akan menjadi lebih muda selagi pemimpin PH kekal berusaha membawa kesejahteraan kepada poket rakyat dan mengurangkan berpolitik.

Politik Malaysia mengalami banyak perubahan, terutamanya selepas Pakatan
Harapan (PH) membentuk kerajaan Persekutuan pada 9 Mei 2018 lepas.

Pertama, kuasa rakyat untuk memilih kerajaan secara demokratik kekal dilindungi. Kedua, peralihan kuasa boleh berlaku dengan aman. Pun begitu, kesan kekal keputusan pilihan raya umum ke-14 adalah politik Malaysia bukan lagi politik samar atau sembunyi-sembunyi, tetapi politik sebuah rumah kaca.

Politik rumah kaca bermaksud para pemainnya harus faham bahawa dengan teknologi hari ini, adalah mustahil untuk menyorokkan sesuatu daripada umum.
Rakyat kini boleh menyemak sendiri kenyataan lalu pemimpin pembangkang yang menjadi kerajaan kerana ia “tersimpan” di medium Youtube atau Facebook. Rakyat boleh menyemak terus latar belakang personaliti lantikan politik ke mana-mana organisasi berkaitan kerajaan. Rakyat juga bebas membuat interpretasi sendiri berkait tingkah laku sesetengah pemimpin politik di laman media sosial.

Oleh kerana maklumat berada di hujung jari dan kecekapan teknologi, politik hari ini menjadi politik rumah kaca. Ahli politik yang tinggal di dalam rumah kaca perlu sentiasa diperhati dan diperiksa oleh rakyat yang memilih mereka. Oleh sebab itu, tugas PH yang menjadi kerajaan hari ini akan menjadi lebih sukar.

Sementara menunaikan anji manifesto sentiasa perlu diusahakan, sikap telus dan cermat dalam menjalankan tugas sebagai kerajaan adalah jauh lebih mustahak kerana implikasi politik rumah kaca ini.

Setiap kenyataan yang dikeluarkan akan diperhalusi oleh rakyat dan disemak dengan kenyataan lepas menjadikan setiap langkah serong mana-mana pemimpin PaH akan menjadi bualan di media sosial.

Adakah politik rumah kaca ini sesuatu yang buruk? Sudah tentu jawapannya tidak kerana tugas sebagai kerajaan dan ahli politik tahap ketelusan yang dilihat sepadan dengan tugas kerajaan. Apabila ada yang melakukan kesilapan, pohonlah maaf, bukannya membandingkannya dengan kerajaan terdahulu.

PH tidak akan menjadi lebih baik dengan perbandingan jumlah kesalahan dengan kerajaan terdahulu. Kerajaan terdahulu tidak sesekali boleh menjadi ukuran kepada prestasi PH, sebaliknya rakyat akan menilai terus komitmen membantu mereka dan kecermatan mengurus sesuatu isu dasar dan politik.

Era politik rumah kaca ini seharusnya dijadikan peluang oleh PH
untuk terus menjadi lebih baik dari aspek komunikasi dasar dan politik rakyat. Rakyat hanya mahukan kerendahan hati pemimpin kerajaan
untuk terus melaksanakan janji manifesto yang ditawarkan sebelum ini.

Sekiranya ia tidak boleh dilaksanakan, berikan penerangan yang jelas dan teliti kerana rakyat memiliki akal dan kebijaksanaan untuk menilai. Janganlah diberikan penjelasan yang lemah kerana dalam politik rumah kaca, rakyat boleh menyemak sendiri kerana maklumat adalah percuma dan senang didapati.

Mengurus politik rumah kaca ini akan menjadi lebih muda selagi pemimpin PH terus berusaha membawa kesejahteraan kepada poket rakyat dan mengurangkan berpolitik. Tahun 2019 adalah tahun untuk PH terus bekerja, bekerja dan bekerja.

Penulis adalah ketua penerangan Angkatan Muda Keadilan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.