PH perlu jelaskan inisiatif berkaitan Felda, kata penganalisis

Ramai peneroka Felda kini terbeban berikutan harga komoditi yang rendah dan kos hidup meningkat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) menimbangkan pendekatan berbeza bagi memenangi sokongan peneroka, yang kini dibebani masalah harga komoditi yang rendah serta kos hidup tinggi.

Felda atau Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan baru-baru ini mengumumkan 31 inisiatif strategik sebagai sebahagian daripada skim transformasinya, berserta satu rancangan pemulihan yang turut merangkumi penjualan aset.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya memberitahu FMT, langkah itu semata-mata tidak mencukupi dan PH juga perlu memaklumkan kemajuan dan pencapaian yang dicapai berkaitan agensi itu sejak ia mengambil alih kerajaan dalam pilihan raya umum 9 Mei tahun lepas.

“Indeks pencapaian utama lembaga pengarahnya juga perlu dimaklumkan kepada umum kerana setakat ini semuanya senyap. Ini menimbulkan persoalan tentang hala tuju dan masa depan Felda di bawah PH,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan menangani isu Felda dengan baik boleh memberi kesan ke atas sokongan orang Melayu, yang jelas merosot pada masa ini.

Awang Azman Awang Pawi

“PH perlu melonjakkan keyakinan peneroka melalui dasar yang dapat membantu mengurangkan beban harian mereka,” katanya.

“Felda merupakan kubu undi orang Melayu dan akan memberi kesan ke atas pengundi.”

Beliau mencadangkan supaya Menteri Hal-ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamaed Azmin Ali mencontohi bekas perdana menteri Tun Abdul Razak Hussein dengan melawat peneroka Felda lebih kerap untuk melihat sendiri keadaan di situ sebelum membuat apa-apa pengumuman.

“Beliau tidak harus terlalu bergantung kepada birokrat,” katanya.

“Keutamaan beliau sekarang ialah menunjukkan kebolehan sebagai menteri hal-ehwal ekonomi dalam menyelesaikan isu Felda.”

Pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Baroyai Bardai bersetuju bahawa Felda perlu memaklumkan secara terperinci 31 strateginya itu, sekali gus mendapatkan maklum balas daripada peneroka sebelum melaksanakannya.

Barjoyai Bardai

Beliau berkata, kira-kira 50% peneroka kini adalah peneroka generasi kedua, dan ramai daripada mereka kurang cenderung untuk terus terlibat dalam sektor pertanian dan mungkin mahu menggunakan tanah mereka sebagai modal.

“Ada jurang antara peneroka generasi pertama dengan yang kedua. Dalam jangka panjang, perbezaan ini perlu diambil kira,” katanya.

Barjoyai juga mencadangkan supaya Felda melihat melampaui kelapa sawit berikutan ketidakstabilan harga dan masa depannya yang tidak menentu pada saat negara Eropah mahu meminggirkan komoditi itu.

Kerajaan katanya, boleh juga menutup FGV Holdings Bhd dan meletakkan kesemuanya di bawah Felda semula.

Beliau juga menggesa kerajaan menangguhkan rancangannya untuk menjual aset Felda dengan berkata ia (aset Felda) dibeli ketika harga tinggi dan mungkin tidak dapat dijual pada harga yang baik dalam keadaan ekonomi semasa.

Sebaliknya beliau mencadangkan aset tersebut diletakkan di bawah satu syarikat tujuan khas seperti yang dilakukan oleh Tabung Haji ke atas asetnya yang tidak menguntungkan bagi membolehkan ia dikekalkan dan dipulihkan.