Polis tahan 2 lelaki bantu siasatan penemuan 2 mayat dikerat di Sungai Buloh

Baru-baru ini, 2 mayat disyaki seorang wanita dan seorang lelaki yang dipercayai mati dibunuh di tempat lain ditemui berhampiran sebatang sungai di Sungai Buloh.

SUNGAI BULOH: 2 lelaki warga asing ditahan polis bagi membantu siasatan penemuan 2 mayat dikerat beberapa anggota badan yang ditemui di tepi sebatang sungai berhampiran taman perumahan Desa Coalfields di Sungai Buloh, pada 26 Jan lepas.

Tanpa menyatakan waktu tangkapan dibuat, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata, kedua-dua lelaki yang dianggarkan berusia 35 hingga 40 tahun itu ditahan dalam dua tangkapan sekitar ibu negara pada 29 dan 30 Jan lepas.

“Kami belum dapat kenal pasti identiti 2 mangsa berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kes itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat ke-14 sempena Tahun Baharu Cina 2019 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di Pusat Komersial TSB, di sini hari ini.

2 lelaki berkenaan direman 7 hari sehingga 6 Feb bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Baru-baru ini dilaporkan 2 mayat disyaki masing-masing seorang wanita dan lelaki dipercayai mati dibunuh di tempat lain sebelum mayat berkenaan dibuang berhampiran sungai itu.

Mengenai Op Selamat, Shafa’aton berkata, semenjak operasi berkenaan dilancarkan pada 29 Jan sehingga semalam, 116 kes kemalangan direkodkan, termasuk 2 kemalangan maut.

“Kebanyakan kemalangan berlaku pada waktu malam. Dalam tempoh sama 761 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata, kawasan kerap berlaku kemalangan antaranya dari Sungai Buloh ke Kuala Selangor dan Bukit Rahman Putra, akan ditingkatkan pemantauan dan rondaan.