Ada di antara kita yang tidak berpeluang menikmati cuti atau terpaksa akur kepada tuntutan kerja dan tinggal di ibu kota. Kalau tak dapat balik kampung atau keluar bercuti masih tidak mengapa, tetapi bagi mereka yang mempunyai anak kecil pasti sukar untuk memujuk mereka meluangkan masa ‘duduk’ di rumah sepanjang seminggu bercuti.

Apa pun jangan risau, sebenarnya di ibu kota pun ada banyak lokasi mesra kanak-kanak dan kalau terhimpit antara waktu kerja, anda masih boleh memilih untuk ke lokasi ini selepas waktu kerja.

FMT Ohsem menyenarai beberapa lokasi menarik menjadi tarikan kanak-kanak di Putrajaya yang sesuai untuk anda sekeluarga beriadah dan menghabiskan hujun hari.

1. Ayer 8, Putrajaya

Selain mempunyai banyak kedai makan serta restoran yang menarik, Ayer 8 adalah lokasi riadah pada waktu malam kerana diterangi dengan pelbagai lampu bercahaya yang cantik. Di sini anda sekeluarga boleh memilih berbasikal roda 3, menaiki beca, basikal roda 8, menaiki keretapi mini attau ‘kereta kuda’ dan sebagainya yang dilengkapi cahaya LED pelbagai warna.

Anda boleh sewa kenderaan ini pada kadar tertentu dan meronda di sekitar Tasik Putrajaya di Ayer 8. Bukan itu sahaja, terdapat taman permainan mini untuk anak-anak jika anda tidak mahu menyewa basikal.

2. Cruise Tasik Putrajaya

Menelusuri Tasik Putrajaya dengan bot besar ini adalah satu pengalaman yang sangat mengujakan buat anda dan anak-anak.

Anda boleh menikmati keindahan matahari terbenam sambil ditiupi bayu senja dengan pemandangan cantik Masjid Sultan Mizan @ Masjid Besi dengan limpahan cahaya lampu.

3. Taman Cabaran Putrajaya @ Putrajaya Challenge Park

Bawa anak-anak untuk merasai pengalaman Taman Cabaran Putrajaya. Ia merupakan salah satu tempat yang sesuai untuk melatih anak-anak merasai sukan yang mencabar. Anak-anak boleh didedahkan dengan wall climbing yang menjadi salah satu lokasi pendakian ‘indoor’ terbesar di Asia Tenggara. Aktiviti ini dibuka dari hari Ahad hingga Khamis bermula pukul 10 pagi hingga 8 malam manakala pada hari Rabu hingga Sabtu pula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

4. Skyrides Festival Park

Ingin melihat pemandangan Putrajaya 500 kaki dari tanah? Jom menaiki belon udara besama keluarga yang membolehkan anda melihat sepelusok panorama Putrajaya. Waktu yang paling disyorkan untuk menyaksikan pemandangan ‘ariel’ ialah sekitar waktu senja supaya anda dapat menikmati pemandangan siang dan malam sekaligus.

5. Berenang & Sauna @ Marina Putrajaya

Jangan risau jika anak anda teringin mandi kolam pada waktu malam. Ini kerana Marina Putrajaya menawarkan kemudahan kolam renang berbumbung yang memudahkan ibu bapa membawa anak-anak sepanjang cuti sekolah ini. Marina Putrajaya dibuka setiap hari untuk 4 sesi iaitu:

Sesi 1: 09.00 am – 11.45 pm
Sesi 2: 12.30 pm – 03.15 pm
Sesi 3: 04.00 pm – 06.45 pm
Sesi 4: 07.30 pm – 09.45 pm

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]