SPRM, polis mesti selesaikan misteri RM90 juta, kata Kadir

PETALING JAYA: Penasihat media dan komunikasi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihak berkuasa harus selesaikan misteri RM90 juta yang didakwa dibayar kepada pemimpin PAS, susulan penyelesaian luar mahkamah antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Datuk Seri Kadir Jasin berkata kebenaran dakwaan dalam artikel Sarawak Report hanya boleh diketahui jika polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan.

Beliau berkata dakwaan oleh Rewcastle-Brown dalam saman itu menimbulkan keraguan terhadap kesungguhan pemimpin PAS pada prinsip Islam.

“Ditakdirkan memang Hadi tidak tahu menahu mengenai derma RM90 yang didakwa itu, tetapi hujah dan fakta terperinci dalam saman balas Claire Brown amat merosakkan bagi PAS,” katanya di blog hari ini.

Artikel yang disiarkan Sarawak Report pada Ogos 2017 antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

Hadi kemudian memfailkan saman fitnah di mahkamah tinggi London. Kedua-dua pihak baru-baru ini bersetuju untuk menyelesaikan saman itu di luar mahkamah dan menarik balik tuntutan masing-masing.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak nafi pernah membayar RM90 juta kepada pemimpin PAS, mengatakan akaunnya dan Umno sudah disiasat pihak berkuasa sejak Mei tahun lepas.

“Jika ianya benar ada sebarang bayaran dari saya ataupun dari Umno, sudah tentu kerajaan PH akan mengambil kesempatan untuk membeku akaun bank presiden PAS ataupun akaun PAS,” kata bekas perdana menteri itu.

Kadir hari ini berkata butiran dalam saman balas Rewcastle-Brown terhadap Hadi antara lain mendakwa pemimpin PAS menggunakan duit itu untuk bermewah-mewah.

“Clare Brown mendedahkan bagaimana mereka membeli rumah dan kenderaan mahal di saat-saat ahli dan penyokong Pas diseru, atas nama perjuangan, untuk menderma kepada tabung saman tersebut,” tambahnya.