Suspek utama letupan bom di Jolo serah diri

MANILA: Suspek utama dalam 2 letupan bom di selatan Filipina akhir bulan lepas menyerah diri kepada pihak berkuasa, lapor agensi berita Xinhua, memetik ketua polis nasional Filipina (PNP) Isnin.

Ketua Pengarah PNP Oscar Albayalde berkata, suspek yang dikenali hanya sebagai Kamah menafikan penglibatan dalam pengeboman gereja yang membunuh 22 orang dan mencederakan 100 yang lain pada 27 Jan di Jolo, sebuah wilayah di selatan Filipina.

Albadalye berkata Kamah, seorang pelajar, menyerah diri bersama 4 yang lain pada hujung minggu di Jolo.

Polis mendakwa Kamah, yang disyaki anggota sub-kumpulan Abu Sayaf, Ajang-ajang, dilihat berhampiran gereja berkenaan sebelum letupan berlaku.

4 “suspek” lain dalam letupan itu yang dilihat berada di sebatang jalan di situ oleh kamera pengawasan turut tampil minggu lepas untuk menafikan dakwaan terhadap mereka. Polis membebaskan mereka.

Sehingga kini tidak ada yang ditahan berhubung letupan berkenaan.