Wajib ‘dashcam’ dalam kenderaan e-panggilan ceroboh privasi penumpang

Ramai pemandu perkhidmatan e-panggilan gagal membela diri kerana tidak mempunyai bukti kukuh bagi menafikan aduan yang dibuat terhadap mereka. (Tangkap layar Youtube)

PETALING JAYA: Seorang pakar pengangkutan menganggap cadangan untuk mewajibkan penggunaan kamera dashboard atau ‘dashcam’ oleh pemandu e-panggilan bukan satu idea yang baik untuk dilaksanakan.

Goh Bok Yen berkata, penggunaan kamera itu dilihat mencerobohi privasi pelanggan yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Sebagai penumpang, adakah dia akan bersetuju dan rela jika perlakuannya di dalam kereta dirakamkan? Ia adalah privasi penumpang, bukan pemandu perkhidmatan e-panggilan.

“Sebagai penumpang, pelanggan ada hak ke atas imej mereka. Bagaimanakah pemandu boleh memberi jaminan bahawa imej yang dirakam tidak akan disalahgunakan?,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, penggunaan kamera itu boleh menimbulkan kebimbangan pelanggan, terutamanya wanita yang menggunakan perkhidmatan itu.

Katanya, idea itu membawa lebih banyak kesan negatif berbanding kebaikan yang hanya memihak kepada pemandu e-panggilan.

Goh Bok Yen

“Pelanggan dirakam dari saat dia menaiki kereta sehinggalah dia turun di tempat yang ditujui.

“Saya tidak bersetujulah kita merakam penumpang, selepas itu penumpang tidak tahu apakah nasib video mereka itu. Privasi penumpang lebih penting,” katanya lagi.

Semalam Persatuan Pemandu Perkhidmatan e-Hailing Malaysia (Mehda) menyarankan supaya Kementerian Pengangkutan menetapkan satu undang-undang mewajibkan penggunaan kamera ‘dashboard’ atau ‘dashcam’ oleh pemandu e-panggilan di negara ini.

Presidennya Daryl Chong berkata, peraturan itu perlu bagi melindungi pemandu daripada dakwaan tidak berasas sesetengah penumpang sehingga boleh menjejaskan periuk nasi mereka.

Katanya, perkara itu juga perlu bagi menjamin keselamatan kedua-dua pemandu dan penumpang yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Pemasangan kamera ini banyak kebaikannya. Ia dapat melindungi pemandu e-panggilan dan juga keselamatan penumpang. Kedua-dua pihak dapat kelebihan,” katanya.

Goh mengakui sukar untuk mewujudkan situasi “menang-menang” untuk kedua-dua pemandu dan penumpang perkhidmatan e-panggilan.

Katanya, mungkin ada cara lain yang boleh dikenalpasti bagi menjamin keselamatan semua pihak, namun bukannya dengan memasang kamera ‘dashboard’.

“Kerajaan perlu ambil kira pandangan pengguna e-panggilan juga, bukan sebelah pihak sahaja.”

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, Mehda boleh mengemukakan cadangan tersebut secara rasmi kepada Kementerian Pengangkutan untuk dipertimbangkan.

Mengakui ia satu cadangan yang baik, Shaharuddin berkata, ia bagaimanapun perlu dikaji terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang ketetapan lanjut.

“Pemasangan kamera ini dianggap idea yang baik sebab ia boleh merakam setiap perkara yang berlaku dan melindungi pemandu dan penumpang e-panggilan.

“Namun saya sarankan kepada persatuan supaya mengemukakan cadangan itu secara rasmi dengan mengikut saluran yang betul,” katanya ringkas.

Baru-baru ini tular sepotong video di negara jiran yang menunjukkan seorang pemandu Go-Jek dituduh cuba menculik seorang penumpang perempuan yang menaiki kenderaan beliau.

Video berdurasi lebih 7 minit itu mendapat perhatian netizen, yang rata-rata menyifatkan pemasangan kamera dalam kenderaan pemandu tersebut menyelamatkan dirinya daripada dituduh menculik dan diberhentikan syarikat.

Daryl memberitahu FMT, pada ketika ini ramai pemandu e-panggilan yang diberhentikan berikutan aduan daripada penumpang.

Katanya, mereka gagal membela diri apabila tidak mempunyai bukti kukuh bagi menafikan aduan yang dibuat terhadap mereka.

“Selama ini banyak berlaku penindasan terhadap pemandu e-panggilan. Kalau ada bukti, periuk nasi mereka mungkin tidak akan dirosakkan begitu sahaja oleh pihak syarikat,” katanya, semalam.