Wakil AS ke Korea Selatan bincang sidang puncak dengan Korea Utara

Wakil khas AS bagi Korea Utara, Stephen Biegun sebelum ini menggesa Pyongyang menyediakan deklarasi penuh berhubung program nuklear dan peluru berpandunya. (Gambar AFP)

SEOUL: Wakil khas Amerika Syarikat (AS) bagi Korea Utara dijangka mengunjungi pejabat presiden Korea Selatan pada Isnin untuk bertemu penasihat keselamatan tertinggi negara itu bagi membincangkan butiran sidang puncak kedua yang bakal berlangsung antara Washington dan Pyongyang, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan sumber.

Stephen Biegun dijangka bertemu Penasihat Keselamatan Nasional Chung Eui Yong apabila beliau berkunjung ke Cheong Wa Dae (pejabat presiden).

Pertemuan itu diadakan menjelang rundingan peringkat kerja Biegun dengan rakan sejawatnya dari Korea Utara, Kim Hyok Chol pada Selasa di zon bebas tentera dalam perkampungan Panmunjom sebagai persiapan bagi sidang puncak kedua antara Presiden AS Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Tarikh dan venue sidang puncak itu, yang ketika ini dijangka berlangsung pada akhir Februari, belum diumumkan dan Vietnam dipetik sebagai antara lokasi yang menjadi kemungkinan.

Trump sebelum ini berkata tarikh dan venue bagi sidang puncak itu akan diumumkan minggu ini.

Rundingan antara Washington dan Pyongyang minggu ini dijangka memfokus kepada butiran langkah pembasmian senjata nuklear yang perlu dilakukan oleh Korea Utara dan kaedah sepadan oleh AS.

Kemajuan yang berlaku agak lembap sejak sidang puncak bersejarah pertama antara kedua-dua pemimpin pada Jun tahun lepas kerana Pyongyang mahukan sekatan ke atasnya ditarik balik, manakala Washington bertegas bahawa ia akan diteruskan sehinggalah Korea Utara selesai melakukan pelupusan senjata nuklear.

Biegun sebelum ini menggesa Pyongyang menyediakan deklarasi penuh berhubung program nuklear dan peluru berpandunya, sambil menegaskan bahawa ia adalah langkah perlu sebelum mencapai pelupusan senjata nuklear “yang muktamad” di Semenanjung Korea.

Biegun tiba di Seoul pada Ahad dan bertemu rakan sejawat beliau dari Korea Selatan, Lee Do Hoon beberapa jam kemudian untuk bertukar-tukar pandangan menjelang rundingan peringkat kerja dengan Korea Utara minggu ini.

Beliau dihujani soalan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, yang terletak di barat Seoul, namun enggan mengulas.

Wakil AS itu mungkin bertemu Lee lagi selepas mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Korea Utara untuk berkongsi hasil.