14 terbunuh dalam serangan di Burkina Faso

Tentera Burkina Faso melancarkan serangan balas bagi ‘meneutralkan’ militan.

BURKINA FASO: Seramai 14 orang awam terbunuh dalam serangan jihad di utara Burkina Faso berdekatan sempadan Mali, kata pihak tentera pada Isnin.

Tentera melakukan serbuan di 3 wilayah utara sebagai tindak balas dan mengatakan ia “meneutralkan” 146 militan, menurut laporan AFP berdasarkan sumber bebas.

Serangan jihad itu, yang berlaku di bandar Kain di wilayah Yatenta yang bersempadan Mali, merupakan insiden paling serius dicatatkan di negara tersebut.

Jurucakap tentera, Kolonel Lamoussa Fofana berkata: “Pada malam Ahad, 3 Feb hingga Isnin, 4 Feb 2019, serangan pengganas di Kain mengorbankan 14 orang awam .

“Sebagai tindak balas terhadap serangan itu, pasukan pertahanan dan keselamatan negara segera memulakan operasi di wilayah Kain, Banh (Wilayah Loroum, utara) dan wilayah Bomboro (Kossi, barat laut).

“Serangan balas ini … menyumbang kepada operasi darat dan udara bagi meneutralkan 146 pengganas di 3 kawasan,” kata kenyataan itu.

Sumber tentera mengesahkan kepada AFP bahawa istilah “meneutralkan” bermaksud membunuh. Jumlah kematian akibat serangan jihad kini meningkat hampir 300 sejak 2015.

Pembunuhan itu berlaku menjelang persidangan G5 Sahel yang akan diadakan di Ouagadougou pada Selasa.