Kesibukan tidak menghalang bintang Hollywood terkenal, Angelina Jolie turun padang melihat kesengsaraan masyarakat lain, dan semalam beliau dilapor membuat lawatan ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh.

Memetik AFP, pemenang Anugerah Academy itu yang juga merupakan wakil khas serta jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) membuat lawatan berkenaan menjelang rayuan untuk mendapatkan dana AS$1 bilion (RM 4 bilion) bagi menampung keperluan kem pelarian itu.

Sejurus tiba di Dhaka beliau terus menuju ke kem di Teknaf berhampiran sempadan Myanmar yang menempatkan kira-kira 720,000 pelarian yang melarikan diri daripada kekejaman tentera di Myanmar, Ogos 2017.

Aktres berusia 43 tahun itu dilihat berbual dengan kanak-kanak pelarian namun tidak membuat sebarang kenyataan dalam kunjungan berkenaan.

Beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan ‘tuan rumah’ iaitu Sheikh Hasina dan beberapa pegawai kanan kerajaan di Dhaka dalam masa terdekat bagi membincangkan kaedah sesuai yang boleh digunakan oleh UNHCR membantu negara tersebut menyelesaikan krisis penindasan etnik minority tersebut.

Kehadiran tersebut bukanlah yang pertama kali kepada Jolie kerana pernah mengunjungi pelarian Rohingya 4 tahun lalu dan mengunjungi India pada tahun 2016.

Sehingga kini UNHCR melaporkan lebih kira-kira 620,000 menetap di Kem Kutupalong, merupakan penempatan terbesar di dunia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]